MAFI lancar KARMA 2021-2025 untuk tangani rasuah

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini melancarkan Kalam Anti Rasuah MAFI (KARMA 2021-2025) merangkumi lima strategi dan 48 pelan tindakan yang antaranya untuk mengukuhkan ketelusan dan kecekapan proses pengurusan permit, lesen dan kuota.

Turut terkandung ialah strategi untuk meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti tatacara penyiasatan dan pendakwaan MAFI, serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan bantuan dan insentif.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang melancarkan KARMA 2021-2025 itu dengan visi ‘Peneraju Pertanian dan Industri Makanan Berintegriti, Telus dan Mesra Rakyat’ berkata pelan tersebut bertujuan merealisasikan aspirasi kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Advertisement

Berdasarkan pelan itu, MAFI telah mengenal pasti lima bidang berisiko untuk ditangani, antaranya pengurusan perolehan awam, pengurusan permit lesen dan kuota serta penguatkuasaan dan pendakwaan padu beras, katanya.

“KARMA 2021-2025 ini akan dilaksana dan diukur keberkesanan bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini,” katanya ketika berucap melancarkan pelan itu di kementeriannya di sini.

Sementara itu, Kiandee berkata pendekatan baharu dan di luar kebiasaan diperlukan bagi memastikan MAFI dapat menghadapi cabaran sekuriti makanan termasuk cabaran semasa yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

“Kita mesti terus memberikan penekanan yang lebih terhadap penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agrorobotik, aplikasi berasaskan Internet of Things (IoT) dan sebagainya sejajar dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau mahu MAFI menjadi kementerian yang mesra perniagaan dan berupaya menarik pelaburan ke dalam sektor agromakanan yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara.

Kiandee turut meminta kepimpinan tertinggi kementerian, jabatan dan agensi menyemak semula peraturan dan prosedur sedia ada yang tidak relevan, bertindih serta membebankan supaya dipermudahkan selaras dengan pembudayaan dan amalan norma baharu pasca-COVID-19.

“Semua jabatan dan agensi MAFI yang terlibat perlu bekerja secara berpasukan bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan memenuhi kehendak pihak-pihak berkepentingan,” katanya. – BERNAMA