Indeks Persepsi Rasuah 2020: Agenda bersama membasmi rasuah

- Advertisement -

MENURUT Dr Muhammad Mohan, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), tahun ini skor Malaysia menurun dua mata iaitu 51 mata (bagi tahun 2020) berbanding 53 mata (bagi tahun 2019) daripada 100 mata secara keseluruhannya.

Malaysia juga jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks ini bagi tahun 2020 berbanding tahun yang sebelumnya iaitu tangga ke 51.

- Advertisement -

Sekalipun skor indeks yang dinyatakan hanyalah mengambil kira persepsi namun kami Pemuda PAS menyeru kepada pihak Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mengambil perhatian yang serius dalam agenda mengatasi masalah gejala rasuah di Malaysia.

Inisiatif Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah permulaan yang baik ke arah pentadbiran kerajaan yang berintegriti serta bersih daripada sebarang kes PDRM dan SPRM.

Kerajaan Malaysia melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM mestilah fokus kepada usaha-usaha membanteras secara tegas dalam isu kes rasuah negara sama ada dalam kes yang telah berlaku, kes yang sedang berlaku atau kes yang bakal berlaku melalui prinsip ‘rule of law’ yang sebenar.

Kami mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas ketegasan pihak kerajaan yang tidak melepaskan mana-mana individu atau ahli politik yang sedang terlibat di dalam perbicaraan kes mahkamah serta tidak memberikan kepada mereka apa-apa tanggungjawab daripada kerajaan sama ada dalam penjawatan politik, agensi-agensi kerajaan atau lantikan GLC.

Kami berharap agar semua pihak tidak kira latar belakang parti politik termasuk kakitangan awam kerajaan serta rakyat jelata dapat berkerjasama dalam usaha membendung gejala rasuah di negara kita ini. 

Kami juga ingin mencadangkan agar Parti Perikatan Nasional (PN) hanya menampilkan calon-calon yang bebas daripada kes salah laku atau rasuah di dalam PRU15 akan datang. Parti PN mestilah bersedia untuk mengetengahkan calon-calon yang berintegriti, kompeten, bersih dan mesra rakyat.

Kami berharap agar kita sama-sama dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh kepada dunia bahawa  agama Islam sekiranya dijadikan sebagai agama bagi Persekutuan atau negaranya, pastinya akan menjadikan integriti sebagai nadi pentadbiran negara dan rasuah sebagai musuh nombor 1 negara.

Sekian

YB SENATOR IR TS HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 30/1/2021

- Advertisement -