
KOTA MELAKA : Jenazah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kota Melaka, Almarhum Abdul Ghapar Abd Wahab, 81, yang meninggal dunia petang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pernu, Kampung Ketapang, di sini, malam tadi.
Beliau yang merupakan YDP PAS Kawasan Kota Melaka semenjak tahun 2015 itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.15 petang semalam di rumah anaknya, Dato’ Dr Mohd Asri Abd Ghapar, di Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Selangor.
Menurut Dr Mohd Asri, kesihatan Almarhum memang merosot sejak akhir-akhir ini selepas dibenarkan keluar dari wad Hospital Melaka pada 31 Disember lepas.
Tambah beliau lagi, selepas dibenarkan keluar dari wad, Almarhum telah dibawa ke rumahnya di Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Selangor bagi membolehkan anak-anak Almarhum yang kebanyakkannya menetap di Selangor dan Wilayah Persekutuan memberikan penjagaan terbaik kepada orang tuanya itu.
“Semalam (Rabu) masih lagi dia lemah, tapi dia boleh bercakap lagi. Tapi pagi tadi (Khamis) dia dah mula nampak tak stabil, jadi kita bagi oksigen, kita masukkan air, daripada pagi ke tengah hari.
“Saya pun bertugas (di hospital) sebenarnya tadi. Isteri saya maklumkan kepada ahli keluarga lain yang keadaan ayah makin merosot. Sekitar pukul 2 tengahari dah makin sesak nafas dia. Dan kita pun bacakan syahadah. Dia dah mula tak sedar masa tu. Nafas dia makin singkat. Dan jam 3.15 petang nafasnya berhenti,” ujar beliau.
Menurut Dr Mohd Asri pada jam 5.30 petang pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang untuk membuat pengesahan kematian.
“Saya dengan kariah di Kampung Medan ini menguruskan jenazah ayah bersama dengan adik-beradik dan keluarga, mandikan, dikafankan dan disolatkan di rumah kami, di sana (di Kampung Medan).
“Sebelum Maghrib van jenazah dah sampai. Selesai disolatkan, jenazah dinaikkan ke dalam van jenazah dan diiringi oleh kami. Dua orang anak saya sama-sama naik van jenazah itu,” ujar Dr Mohd Asri.
Beliau yang juga merupakan seorang Pakar Bedah Ortopedik di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur berkata, jenazah kemudiannya terus dibawa ke Masjid Al-Aziz Kampung Pernu, Melaka untuk disolat dan disemadikan.
Menurut Dr Mohd Asri lagi kematian ayahanda tercintanya itu adalah berkaitan dengan masalah jantung dan paru-paru di samping telah disahkan tiada sebarang jangkitan Covid-19.
Jenazah Almarhum tiba di Masjid Pernu dari Selangor pada jam 10.15 malam untuk disembahyangkan dengan disambut oleh lebih 200 orang saudara-mara, pimpinan masyarakat, sahabat handai dan penduduk-penduduk sekitar.
Solat jenazah telah diimamkan oleh Imam-1 Masjid Al-Aziz, Kampung Pernu, Norhanudin Kassim sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pernu, bersebelahan makam isterinya yang meninggal dunia pada tahun 2001.
Selain Dr Mohd Asri yang merupakan anak kedua, Almarhum meninggalkan empat orang lagi anak, iaitu anak sulungnya, Dato’ Dr Abd Kahar, seorang pakar jantung dan Ketua Jabatan Kardiologi di Hospital Serdang; anak ketiga, Dr Aida seorang doktor vaterinar; anak ke empat, Mohd Fikri adalah seorang peguam berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa dan yang terakhir anak bongsunya Nur Amirah berkelulusan IT dari Universiti Multimedia Melaka.
Almarhum memegang kelulusan tertinggi Post Graduate di dalam jurusan Pengurusan Kewangan dari Universiti of Connecticut, Hartford di bawah tajaan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu selain Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Luar Bandar yang diperolehi daripada Universiti Malaya pada tahun 1969.
Almarhum telah mencurah bakti selama 25 tahun di FELDA dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Perancang dan Belanjawan.
Turut hadir di majlis pengebumian Almarhum ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Ketua Umno Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Muhamat Puhad Bedol dan pimpinan-pimpinan PAS tempatan. – HARAKAHDAILY 29/1/2021











