
TANAH MERAH: Lima gajah betina yang merosakkan kebun penduduk di Kampung Bukit Kulim, Kuala Tiga di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Kelantan.
Kumpulan gajah itu dipercayai memasuki kebun penduduk sejak beberapa minggu lalu ditangkap kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Ketua Pusat Konservasi Kuala Gandah (PKGK), Munammad Khairul Adha Mat Amin berkata operasi pemindahan kumpulan gajah liar yang ditangkap itu dilakukan hari ini.
“Bagi menjalankan operasi pemindahan gajah ini kami mendapatkan bantuan daripada kakitangan Pusat Konservansi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang Pahang.
“Kesemua hidupan liar ini akan dilepaskan ke habitat semula jadi di kawasan Taman Negara,” katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Kulim di sini, hari ini.
Muhammad Adha berkata, selepas operasi pemindahan gajah itu diharap penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi bimbang dan takut.
Katanya, sebelum ini penduduk di beberapa kampung turut berdepan dengan kehadiran gajah liar termasuk di Kampung Air Kerla, Bukit Capong, Bukit Kulim dan Air Resom.
“Siasatan awal yang dijalankan kami mendapati gajah liar tersebut dari kumpulan gajah yang ada di kawasan Hutan Simpan Sokor Taku.
“Gajah-gajah tersebut dipercayai keluar dari hutan simpan untuk mencari makan dan bersosial dengan kumpulan gajah di Hutan Simpan berdekatan akibat habitat asal mereka diceroboh,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/1/2021











