
VIRUS Corona merupakan RNA (ribonucleic acid) virus. RNA yang merupakan material genetik bagi virus ini, mengandungi maklumat dan arahan penting bagi menghasilkan protein yang diperlukan oleh virus untuk kelangsungan hidup di dalam perumah (host).
Mutasi atau perubahan kepada RNA boleh memberi kesan kepada protein yang dihasilkan. Akibatnya, protein baru boleh mengandungi sifat yang berbeza dari protein asal.
Secara semulajadi, mutasi boleh berlaku sewaktu virus membiak bagi menghasilkan virus baru (replication step) atau akibat kombinasi, apabila seseorang dijangkiti virus yang sama dari jenis yang berbeza (lineage) dalam satu masa.
Terdapat mutasi yang boleh menguntungkan virus sebagai contoh, apabila ia meningkatkan kebolehjangkitan dan keupayaan virus menyerang sistem pertahanan badan kita. Namun, terdapat juga mutasi yang boleh melemahkan virus atau tidak memberi kesan kepada virus.
Virus yang terhasil akibat mutasi (dikenali sebagai varian [variant]) yang ketara telah dilaporkan di beberapa buah negara.
Pada Disember tahun lalu, United Kingdom telah melaporkan penemuan varian yang dikenali sebagai SARS-CoV-2 VOC 202012/01 (Variant of Concern, year 2020, month 12, variant 01). Dalam masa beberapa minggu, varian ini mendominasi kes COVID-19 di England dan menyebabkan gelombang ketiga jangkitan. Penyelidikan awal mengesahkan, walaupun varian ini lebih mudah menular antara 30-50 peratus berbanding virus asal, namun ia tidak menyebabkan jangkitan yang lebih parah.
Pada bulan yang sama, pihak berkuasa Afrika Selatan turut melaporkan penemuan varian yang berbeza dan dikenali sebagai 501Y.V2. Varian ini dikaitkan dengan penghasilan jumlah virus baru yang tinggi (higher viral load) dan turut memberi kesan kepada penularan jangkitan.
Sebelum itu pada musim panas yang lalu, Denmark telah menemui varian yang dikenali sebagai Cluster 5 pada cerpelai (mink). Varian ini turut menjangkiti manusia, terutamanya pekerja di ladang cerpelai. Sebagai langkah berjaga-jaga, hampir 17 juta ekor cerpelai dibunuh bagi mengelak tersebarnya varian jenis ini.
Varian yang turut ditemui di negara kita, D614G substitution dikenalpasti seawal bulan Januari tahun lalu. Dalam masa enam bulan, varian ini mendominasi jangkitan virus Corona SARS-2 di seluruh dunia. Berbanding virus asal, varian D614G ini mempunyai tahap kebolehjangkitan yang tinggi dan lebih mudah tersebar.
Virus Corona SARS-2 sepertimana RNA virus yang lain termasuk Influenza, Denggi, Zika dan Rabies akan sentiasa bermutasi secara semulajadi. Bagi membendung pandemik COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan para penyelidikan memantau dengan dekat mutasi virus Corona SARS-2 dan kesannya terhadap vaksin yang telah dihasilkan, keberkesanan langkah kesihatan awam yang sedang dijalankan bagi membendung wabak serta kecekapan ujian saringan mengesan virus yang telah bermutasi ini.
Sehingga kini, kes jangkitan COVID-19 melebihi 93 juta dan mengakibatkan hampir 2 juta kematian di seluruh dunia. Bersamalah kita menjaga diri dan insan di sekeliling kita dari jangkitan virus Corona SARS-2. Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita.
DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park.
Rujukan utama;
WHO- SARS-CoV-2 Variant
Drop et al., nature communications 11, Article number: 5986 (2020) – HARAKAHDAILY 15/1/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











