Pahang strukturkan semula perkhidmatan air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pahang menjadi negeri kelapan yang berjaya menyempurnakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Malaysia.

Kejayaan ini terlakar setelah perjanjian utama, perjanjian kemudahan dan perjanjian pajakan dimeterai antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pahang, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perjalanan untuk sampai ke tahap itu bukan suatu perkara mudah kerana proses perundingan tersebut menelan masa selama tujuh tahun sejak 2013.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya percaya semua pihak telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan penstrukturan ini dapat direalisasikan demi manfaat bersama dan seluruh rakyat negeri Pahang pada hari ini,” ujarnya.

Tuan Ibrahim berucap demikian dalam majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Pahang di The Zenith Hotel, Kuantan, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Pahang di The Zenith Hotel, Kuantan, hari ini.

Sebelum ini katanya, tujuh negeri telah berjaya menyempurnakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang telah bekerja keras khususnya Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, PAAB, PAIP, serta Bahagian Air dan Pembetungan.

Jelasnya perjanjian yang ditandatangani akan mengorak beberapa langkah penting bagi membantu Pengurusan Air Pahang menuju ke arah penawaran perkhidmatan yang lebih efektif kepada pengguna.

“Semua pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri Pahang akan diambil alih oleh PAAB. Pembayaran akan distruktur semula untuk tempoh 45 tahun melalui bayaran sewa pajakan yang akan dikenakan kepada PAIP.

“Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju menghapus kira pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion kepada Negeri Pahang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Selain itu, PAIP katanya akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun bagi membantu PAIP membina asas kewangan yang kukuh sebelum membayar sewa pajakan kepada PAAB.

Manakala PAAB akan membangunkan aset-aset air di Negeri Pahang berdasarkan pendekatan bina dan pajak dengan kadar yang kompetitif berbanding pembiayaan komersil.

“PAIP akan dapat menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air kepada pengguna menerusi pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan.

“PAIP dapat beroperasi berdasarkan ‘asset light model’ dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan SPAN akan mengawal selia PAIP secara berkesan supaya prestasi perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan secara dinamik,” ujarnya.

Beliau amat berharap perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang akan membuka lembaran baharu dan penstrukturan itu akan turut menatijahkan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri, tarikan pelabur asing, penawaran peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Semoga usaha ini akan dapat memperkukuh dan menjamin industri perkhidmatan bekalan air yang lebih berkualiti, berdaya saing dan lestari kepada seluruh rakyat,” katanya.

Perjanjian utama telah ditandatangani oleh empat pihak iaitu Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air mewakili Kerajaan Persekutuan, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang mewakili Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Abdul Hadi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bahari.

Perjanjian kemudahan dan perjanjian pajakan pula ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif mewakili PAAB, Abdul Hadi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif mewakili PAIP, Saiful Zaini Mohd Bahari.

Sesi menandatangani tiga perjanjian tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Pengerusi Lembaga Pengarah PAAB, Dato’ Sri Hasan Arifin.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri Pahang akan diambil alih oleh PAAB dan pembayarannya disusun semula untuk tempoh masa selama 45 tahun. – HARAKAHDAILY 23/12/2020

- Advertisement -