PM agih pek makanan mangsa banjir

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat mangsa banjir di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi. Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dekat ini.

Helikopter yang membawa perdana menteri diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Gong Kedak mendarat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi kira-kira jam 10 pagi.

Ketibaan perdana menteri disambut Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dan timbalannya Dato’ Mohd Amar Abdullah.

- Advertisement -

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, wakil wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Sejurus tiba, Muhyiddin dibawa ke bilik mesyuarat bagi mendengar taklimat yang disampaikan Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Beliau kemudian melawat mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu serta menyampaikan bantuan berbentuk pek makanan kepada mangsa banjir.

Muhyiddin menghabiskan masa kira-kira sejam sebelum berlepas semula ke Gong Kedak, Besut.

Difahamkan lawatan tersebut merupakan pertama beliau ke Kelantan sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia. – HARAKAHDAILY 22/12/2020

- Advertisement -