
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan mencadangkan kepada kerajaan supaya lebih banyak sekolah integrasi diwujudkan di negeri Sabah.
Menurut beliau, sistem pendidikan Islam di negeri itu masih perlu diperbaiki dan usaha Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang telah memulakan beberapa sekolah integrasi merupakan satu permulaan yang baik.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2021, di sini, kelmarin.
Tambah beliau, sekolah-sekolah persendirian, pada peringkat kurikulum sudah memasukkan sistem hafazan Al-Quran, subjek akademik dan diniah (agama) untuk diajarkan kepada para pelajar.
Inisiatif ini katanya, akan melahirkan pelajar yang menyepadukan dalam konteks menangani sistem pendidikan semasa.
Dalam masa sama, Setiausaha PAS Sabah itu turut mencadangkan supaya sekolah seperti ini diwujudkan di banyak kawasan di Sabah sama ada sekolah tadika, sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Contohnya seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang mempunyai lebih kurang 8,000 penuntut di seluruh negeri Sabah di mana para pelajar ini sudah mula menghafaz Al-Quran sejak rusia lima dan enam tahun.
Malangnya kata Dr Aliakbar, tiada kesinambungan selepas daripada itu dan para pelajar terpaksa mencari sekolah-sekolah yang juga boleh meneruskan kurikulum yang sudah sedia.
Tambahnya lagi, di samping sekolah-sekolah yang terhad, sekolah ini juga memang tidak fokus kepada hafazan Al-Quran yang mungkin disebabkan kurikulum yang bersepadu ini masih belum lagi meluas dalam masyarakat.
Mengambil kira semua perkara yang disebutkan, beliau mencadangkan kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah supaya mengambil perhatian yang sewajarnya atas cadangan yang diutarakan.
“Saya kira ini harus menjadi satu kandungan dalam mesej kita untuk menyampaikan obejktif ‘Sabah Maju Jaya’ yang telah dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri dalam Belanjawan Negeri Sabah,’’ ujar Dr. Aliakbar. – HARAKAHDAILY 22/12/2020











