Tok Wan Ali Kutan: Pembangkit Kelantan Serambi Makkah

- Advertisement -

SEJAK sekian lama saya melihat arwah ibu saya menjadikan kitab Lum’at al-Awrad sebagai panduan wirid dan zikir-zikir hariannya, terutama dalam menghabiskan hari-hari tua beliau. Sebenarnya, bukan ibu saya sahaja, bahkan hampir semua generasi tua di Kelantan merujuk kepada kitab ini sebagai sumber pengukuhan amalan-amalan mereka pada hari tua. Kerana kemasyhuran kitab ini sebagai rujukan di pondok, masjid dan surau-surau di Kelantan, Patani dan negeri-negeri lain, nama penulisnya, Tok Wan Ali Kutan menjadi begitu terkenal di Alam Melayu.

Tok Wan Ali Kutan atau nama sebenarnya Sheikh Wan Ali bin Wan Abdul Rahman bin Wan Abdul Ghafur bin Wan Ali bin Wan Izzuddin adalah anak bongsu kepada Sheikh Wan Abdul Rahman yang masyhur dengan gelaran Tok Semian, kerana bertugas sebagai Semian (Setiausaha Kerajaan) pada zaman Sultan Mohamad II (1836-1886). Datuknya, Sheikh Abdul Ghafur adalah seorang ulamak pada zaman Long Yunus (m. 1795) yang selalu disebut sebagai Lebai Muda dan berasal dari keturunan Sheikh Wan Hussein, pengasas Pondok Teluk Manok yang terkenal itu.

- Advertisement -

Selain merupakan anak kepada Tok Semian, Tok Wan Ali adalah biras kepada Sheikh Wan Mohamad Zain, iaitu ayah kepada Sheikh Wan Ahmad al-Fathani; ipar kepada Tuan Tabal, iaitu ayah kepada Mufti Haji Wan Musa dan Mufti Haji Wan Mohammad; dan ayah sepupu kepada Sheikh Othman Jalaluddin al-Kelantani, ulamak Kelantan yang terkenal di Seberang Perai itu. Namun begitu, kemasyhuran Tok Wan Ali Kutan bukan kerana lahir dalam keluarga ulamak besar, tetapi kerana beliau sendiri adalah ulamak terbesar di dalam keluarganya.

Tok Wan Ali Kutan dilahirkan di Kampung Kutan, Kelantan pada awal abad ke-19. Seorang penulis, Ustaz Ismail Awang, di dalam tulisannya di majalah Pengasuh telah mengatakan bahawa beliau lahir pada 1253H atau 1837M. Tetapi fakta ini ditolak oleh Wan Mohd Saghir Abdullah kerana berpegang dengan pendapat keluarganya. Menurut beliau, berdasarkan maklumat keluarganya, Tok Wan Ali adalah sebaya dengan moyangnya, Sheikh Wan Mohamad Zain al-Fathani, tetapi lebih muda sedikit. Sheikh Mohamad Zain diketahui lahir pada 1817M. Wan Mohd Saghir Abdullah berandaian bahawa Ustaz Ismail Awang tersalah catat tahun Hijrah antara 1253H dengan 1235H, kerana 1235H bersamaan dengan 1820M, satu tarikh yang lebih munasabah berdasarkan umurnya yang hanya sedikit lebih muda dari birasnya itu. Menurut Wan Mohd Saghir, tahun 1820M adalah tahun kelahiran beliau yang lebih tepat. 

Selepas mendapat pendidikan agama dengan ayahnya, Tok Wan Ali sempat belajar dengan Tuan Guru Haji Yaakob Sheikh Abdul Halim Yunan, Penasihat Agama Istana Kelantan bersama Tuan Guru Haji Ahmad Yusof (Tuan Padang). Ketika berusia 12 tahun (1832M), beliau telah dibawa ke Makkah oleh ayahnya dan belajar di sana dengan beberapa guru ternama seperti Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sheikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi, Sheikh Ahmad As’ad ad-Dihan, Sheikh Abdus Shamad Pulau Condong, Sheikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi dan lain-lain.

Dengan ilmu yang dimilikinya, beliau mula mengajar di Makkah pada sekitar 1850-an. Antara murid beliau yang terkenal ialah Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, Mufti Tok Montok, Tok Kenali, Tok Perlis, Tok Khatib Haji Daud, Tok Padang Jelapang, Mufti Dato’ Abdullah Musa, Mufti Haji Wan Mohamad Tuan Tabal, Mufti Haji Ibrahim Tok Raja, Tok Bermin, Sheikh Said Linggi, Tuan Guru Haji Umar Sungai Keladi, Dato’ Laksamana Muhammad Mohd Said, Dato’ Perdana Nik Mahmud, Sheikhul Islam Tengku Mahmud Zuhdi dan lain-lain.

Pendek kata, hampir seluruh ulamak Melayu yang belajar di Makkah di antara 1850 hingga 1913 telah mengambil peluang belajar dan mendapat sentuhan ilmu daripada Tok Wan Ali Kutan. Dengan peranannya melahirkan para ulamak untuk dekad 1860-an hingga awal dekad 1910-an, bermakna beliau adalah tenaga terpenting dalam mengubah Kelantan menjadi pusat keilmuan Islam yang bermula pada dekad terakhir abad ke-19. Serentak dengan kejatuhan Patani akibat serangan Siam pada 1830-an, saat itu juga bermula kebangkitan Kelantan sebagai pusat ilmu yang ditandai oleh penubuhan Pondok Pulai Chondong pada 1820.

Tok Wan Ali Kutan, Tuan Padang, Tok Konok dan Tuan Tabal adalah antara ulamak Kelantan yang terkemuka pada separuh kedua abad ke-19. Tetapi ketika ulamak lain membangunkan institusi ilmu di Kota Bharu, Tok Wan Ali Kutan telah memilih untuk bergiat di Makkah yang lebih fokus dalam perkaderan para ulamak pelapis. Lalu kebanyakan para santri yang cemerlang di Kelantan akan mendapat sentuhan ilmu lanjutan bersama Tok Wan Ali Kutan di Makkah sehingga lahir pula ulamak-ulamak besar pada setiap dekad sejak 1860-an hingga 1913 itu. Lalu, apabila kita membicarakan mengenai kebangkitan Kelantan sebagai Serambi Makkah, maka watak Tok Wan Ali sebagai pembangkit utama tidak boleh diketepikan.

Jika Tok Kenali (m. 1933) muncul sebagai ulamak terbesar Kelantan pada abad ke-20, maka tiada siapa pun dapat menolak hakikat bahawa Tok Wan Ali Kutan adalah ulamak terbesar Kelantan pada abad ke-19, mengatasi kemasyhuran abang iparnya, Sheikh Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih terkenal dengan gelaran Tuan Tabal. Selain mengajar dan mengkaderkan para ulamak, Tok Wan Ali Kutan juga menghasilkan beberapa karya seperti Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid, Lum’atul Awrad, Majma’ul Qashaid wal `Awaid dan beberapa yang lain. Kitab beliau yang paling masyhur ialah Lum’atul Awrad seperti yang telah disebutkan di atas. Maklumat lanjut mengenai kitab tersebut boleh dibaca dalam tulisan saya sebelum ini di, [1]. 

Pada hari ini, kita telah berada di hujung tahun 2020, iaitu ulang tahun ke-200 Tok Wan Ali Kutan sebagai ulamak terbesar Kelantan yang sangat berjasa. Kebangkitan Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah pada akhir abad ke-19 dan kemunculan Kelantan sebagai negeri yang mendukung dasar Membangun Bersama Islam sejak 30 tahun lalu adalah sebahagian daripada kesan-kesan perjuangan Tok Wan Ali Kutan dalam melahirkan bangsa yang berilmu dan mendukung perjuangan para ulamak. Kelantan wajar berbangga dengan ketokohan dan sumbangan Tok Wan Ali Kutan serta meneruskan perjuangan beliau dalam menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 15/12/2020

[1] https://iptg.my/2017/03/08/wacana-turath-lumat-al-aurad-karya-tersohor-tok-wan-ali-kutan/

Kitab al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub yang selesai ditulis pada 1306H / 1888M, adalah terjemahan dan syarah kepada kitab Lubab al-Hadith karya Imam Jalaluddin as-Sayuti.
Lum’at al-Awrad, kitab karya Tok Wan Ali Kutan yang paling masyhur. Ia mengandungi zikir-zikir dan wirid yang menjadi sumber amalan orang-orang Melayu hari ini.
Tok Wan Ali Kutan, tokoh ulamak terbesar dari Kelantan untuk abad ke-19. Beliau adalah murid kepada Tok Pulai Chondong dan guru kepada Tok Kenali.
- Advertisement -