
ALOR SETAR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang diminta menjaga hal parti itu daripada sibuk memikirkan berkaitan orang lain.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lebih baik pemimpin DAP terbabit menjaga diri sendiri dan rakyat Johor yang mengundinya.
“Sikap saya tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat Kedah. Bahasa orang Kedah memang agak kasar tetapi mesra dan mudah difahami,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, pemimpin DAP terbabit mahu beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar kononnya gagal menangani isu perobohan kuil di Kedah.
“Cuba ambil kisah beruk cuba berlawan dengan kilat di mana akhirnya dirinya cedera dan sia-sia sahaja.
“Ada seekor beruk tinggal dalam rumah. Kilat datang, dia cuba tepis hingga tangannya berdarah. Sedangkan kilat itu bukan panah dia pun. Tapi dia lawan buat apa, perbuatan sia-sia,” ujarnya berseloroh.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan 4 notis sejak 10 Januari 2019 kepada penjaga kuil yang dibina di tanah rizab jalan dan mengganggu lalu lintas.
Terbaharu MBAS telah menghantar notis bertarikh 17 Jun lepas.
Malah difahamkan kerajaan negeri menawarkan tapak lain kepada penjaga kuil itu, namun mereka menolaknya. – HARAKAHDAILY 9/12/2020











