Melaka potong gaji Ketua Menteri, Exco

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Melaka akan melaksanakan pemotongan gaji Ketua Menteri dan semua Exco sebagai langkah penjimatan dalam mendepani wabak berjangkit Covid-19.

Menurut Ketua Menterinya, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali, pemotongan berkenaan akan dilaksanakan bermula Januari ini selama setahun sebanyak 10 peratus kemudiannya disalur ke Tabung Bencana Negeri Melaka.

- Advertisement -

Katanya, tindakan itu diambil sebagai langkah membantu lebih ramai rakyat yang terjejas ekoran impak daripada pandemik Covid-19.

“Kita telah bermesuarat dalam kalangan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan semua ahli majlis telah bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 10 peratus pada tahun hadapan selama setahun.

“Insya-Allah duitnya nanti hasil pemotongan kita akan pulangkan nanti pada rakyat negeri Melaka,” kata Sulaiman kepada media selepas Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di sini hari ini.

Belanjawan 2021 Melaka mencatatkan peningkatan 14.28 peratus berbanding tahun sebelum ini dengan anggaran hasil bagi 2021 adalah sebanyak RM 445.96 juta.

Belanjawan negeri itu bertemakan Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -