
KLUANG: Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan ziarah dari rumah ke rumah 30 keluarga golongan MOSWAY iaitu miskin, OKU, sakit, warga emas, armalah dan anak yatim di sekitar Parlimen ini, di sini baru-baru ini.
Program dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Negeri Johor dan LKK Muslimat PAS Kawasan Kluang ini juga telah dilaksanakan dengan penglibatan sama NGO Muslim Care Malaysia (MCM).
Aktiviti ini merupakan rutin Skuad Prihatin sebagai inisiatif menyantuni golongan asnaf tersebut menerusi sumbangan barangan harian di samping perubatan khas kepada keluarga yang memerlukan rawatan.
Rombongan diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Dr ‘Uyun Abd Malek dan juga Exco Muslim Care Malaysia, Zuriati Ya’akob dan juga Suryana Sutarzi.
Menurut Dr ‘Uyun, menerusi ziarah ini pihaknya berusaha memberi sokongan moral kepada mereka yang dikunjungi, selain mengambil maklum perkembangan keluarga berkenaan di mana mempunyai pelbagai ujian kehidupan.
Sehubungan itu beliau menyeru para dermawan untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada golongan tersebut agar sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban mereka untuk meneruskan kehidupan.
Skuad Prihatin mengalu-alukan orang ramai agar terus menyumbang bagi misi kebajikan dilaksanakan menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/12/2020











