
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih 30 pingat emas sempena 31st International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2020.
Kejayaan itu membolehkan UniMAP menerima pengiktirafan Golden Awards 2020 mengatasi kesemua institusi lain yang mengambil bahagian.
Program tersebut anjuran Concept, Innovative & Strategy (C.I.S) Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Invention and Design Society (MINDS) diadakan baru-baru ini.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP, Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, pasukan penyelidik UniMAP mencatat kejayaan 100 peratus kemenangan dan turut membawa pulang 18 pingat perak dan dua gangsa.
“Antara penyumbang kejayaan pasukan penyelidik UniMAP menerusi produk inovasi dan penyelidikan yang berkaitan dengan situasi semasa iaitu pandemik Covid-19,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya juga pemilihan penyelidik menyertai ITEX 2020 tersebut disaring di peringkat UniMAP berdasar pencapaian pada Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UniMAP (EREKA) anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) UniMAP. – HARAKAHDAILY 25/11/2020











