
KOTA BHARU: Sewajarnya setiap ahli Parlimen membuat pertimbangan cermat bagi kepentingan rakyat dan bukannya bersalut dengan agenda politik.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, amat rugi sekiranya peruntukan khas untuk Covid-19 yang dibentang kerajaan sebelum ini tidak dapat disalurkan kerana kerenah ahli Parlimen itu sendiri.
Katanya Belanjawan 2021 penting kerana terkandung peruntukan khas berkaitan Covid-19 yang melanda negara sekarang.
“Kita berharap semua ahli Parlimen sama ada dari pembangkang atau kerajaan menyokong bajet berkenaan,” ujarnya di sini semalam.
Difahamkan esok akan berlaku pengundian Belanjawan 2021 selepas dibentang Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas.
Belanjawan tersebut antara lain mengandungi insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas dinaikkan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan.
Selain itu peruntukan RM2 bilion inisiatif PenjanaKerjaya dan dijangka dapat menyediakan 200,000 peluang pekerjaan.
Sebanyak RM400 juta bagi membantu peneroka FELDA menghapus faedah hutang kebun peneroka dan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu
Manakala elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan kepada RM300 sebulan daripada RM250.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat akan menghadapi laluan lebih sukar sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat dilulus esok. – HARAKAHDAILY 25/11/2020











