
PROF. Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah bercerita bahawa beliau diugut oleh SB Mesir supaya tidak terlibat dengan politik bahkan ditawarkan kerja dengan elaun lumayan semata-mata untuk menghancurkan parti Islam Se-Mesir (Ikhwan Muslimin). Beliau sendiri telah dipenjarakan dan tersangat ramai pimpinan Ikhwan semua peringkat yang dipenjarakan tanpa kesalahan. Ada yang telah gugur sebagai Syuhada’ setelah diseksa, ada yang berjaya keluar penjara hanya dengan minnah atau pemberian Allah!
Peratusan untuk keluar penjara bagi yang terlibat dengan Ikhwan sangat sukar hanya bergantung kepada rezeki yang Allah tetapkan sahaja. Setelah keluar penjara, kehidupan tidak seperti biasa, setiap ketika akan diawasi serta datangnya gangguan dan tekanan daripada pelbagai pihak. Mereka yang berpotensi dan mempunyai karisma kepimpinan, akan dibrainwash awal supaya tidak menjadi penentang kepimpinan kerajaan diktator.
Pembunuh politik ada di serata tempat bukan setakat di jalanan, pejabat bahkan di rumah! Si anak tidak terlepas menjadi pembunuh politik si ayah begitulah sebaliknya. Kedengaran suatu ketika si ayah yang terlibat dengan Ikhwan ditangkap polis dan dipenjarakan seumur hidup. Tiada siapa yang dapat mengesahkan apa kesalahannya, rupanya ia adalah hasil daripada laporan si anak yang telah dibayar elaun untuk mencari maklumat Ikhwan! Hasbunallah!
Ada yang diberi elaun bulanan bahkan mingguan supaya melaporkan pergerakan Ikhwan di semua peringkat sehingga para pendakwah Ikhwan yang berkaliber ditangkap. Boleh dikatakan semua pimpinan Ikhwan dan para ulamak yang berkecimpung dalam siyasi ditangkap serta dihadapkan pertuduhan yang tidak berasas. Kebanyakan mereka tidak tunduk dan rela dipenjara termasuk diseksa sehingga menemui syahid! Begitulah gerak kerja pembunuh karakter politik dalam memusnahkan generasi pejuang Islam sehingga kini.
Para Asatizah termasuk Al-Azhari iaitu mereka yang menjadi pelajar dan lepasan pelajar Universiti Al-Azhar terkemuka juga ramai yang menjadi penentang Ikhwan bahkan menolak penglibatan ummah dalam politik. Prof. Dr Al-Qaradhawi juga pernah ditawarkan untuk bekerja sebagai ejen SB Mesir. Beliau menolak bahkan memberi penegasan bahawa tiada sesiapa yang dapat menyekat arus gerakan Islam walaupun dengan perancangan licik melainkan dengan kuasa Allah sahaja!
Strategi licik untuk menolak penglibatan dalam politik dan berkecimpung dengan perjuangan Islam sentiasa dirancang sehingga ke hari ini supaya lahirnya tokoh akademik atau ulamak atau pakar yang membenci serta menentang perjuangan Islam. Tambahan pula, kedangkalan dan kejahilan ummah ini diambil peluang oleh musuh Islam kalangan Yahudi, Nasrani, Barat untuk menyusun protokol serta modus operandi dalam memecahkan kesatuan umat Islam.
Prof. Dr Al-Qaradhawi turut mendedahkan betapa institusi agama dan akademik dicemari dengan penyaluran doktrin menyesatkan serta tumbuhnya bak cendawan gerakan mengkritik tokoh gerakan Islam supaya mereka dilihat pengganas dan pemusnah keamanan negara. Mesir dijadikan pangkalan untuk melatih para tokoh akademik dan ulamak yang menentang apa jua perjuangan atas nama gerakan Islam dengan hujah akademik dan agama atas nama maslahah dan ilmu turath Islam! Berhati-hatilah, Fahzaru!
ASRI EDDIWANIE – HARAKAHDAILY 16/8/2020











