Isu keselamatan makanan mustahak dikaji semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian Semula Pelan Tindakan Keselamatan Makanan Ke Arah 2020 oleh 21 ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) merupakan langkah yang sangat mustahak dalam menghadapi impak penularan wabak Covid-19 ke atas dasar keselamatan makanan.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata kerjasama dalam kalangan 21 ekonomi APEC ini telah pun ditemeterai sejak tahun 2014 di Beijing.

- Advertisement -

Namun katanya, langkah kajian semula adalah sebahagian daripada kesinambungan dasar kolektif berkenaan isu keselamatan makanan serantau.

“Penularan wabak Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di kebanyakan negara telah memberikan impak terhadap rantaian bekalan makanan.

“Perkara ini telah menjadi teras asas kepada Malaysia selaku Pengerusi APEC 2020 bagi melakukan proses penelitian semula dasar bersama yang telah digarap hampir 6 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi semasa sesi pertanyaan jawab lisan di dalam Dewan Rakyat berkata Malaysia bersama dengan 21 ekonomi APEC masih meneruskan komitmen di peringkat serantau melalui penyertaan Menteri-Menteri bertanggungjawab bagi perdagangan APEC yang telah dikeluarkan pada 5 Mei 2020.

Katanya, ia bagi memudahkan aliran makanan dan perkhidmatan yang penting untuk memerangi pandemik Covid-19.

Selain kerjasama dan peranan aktif daripada sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan APEC turut diberi perhatian bagi memastikan pemulihan ekonomi selepas Covid-19 yang lebih mampan dan membawa penyelesaian serantau jangka panjang

Mengulas lanjut, Che Alias berkata langkah kerjasama APEC yang dibentuk bagi memperkukuhkan keselamatan makanan khususnya menghadapi tempoh kritikal hari ini merupakan sesuatu yang penting dan wajar diberi perhatian serius.

Jelasnya, perkara ini melibatkan isu gangguan rantaian bekalan, kerjasama di antara sektor swasta serta fasilitasi pelaburan dan perdagangan seperti yang telah dijelaskan oleh Kementerian.

“Saya berharap pelan tindakan ini dapat direalisasi bersama bagi mengukuhkan keselamatan negara selain membantu ke arah meningkatkan tahap sara diri (SSL),” ujarnya.- HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -