Perdagangan APEC: Teruskan komitmen serantau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama dengan 21 ekonomi APEC masih meneruskan komitmen di peringkat serantau melalui penyertaan menteri-menteri bertanggungjawab bagi perdagangan APEC yang telah dikeluarkan pada 5 Mei 2020.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia bagi memudahkan aliran makanan dan perkhidmatan yang penting untuk memerangi pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Antaranya merangkumi ubat-ubatan bekalan dan peralatan perubatan, pertanian dan juga produk makanan serta bekalan lain merentasi sempadan serta mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan global bagi menggalakkan perdagangan antara ekonomi APEC seperti mana yang disarankan oleh Pertumbuhan Perdagangan Dunia (WTO),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) minta penjelasan lanjut mengenai langkah-langkah strategik dan peranan yang diambil oleh pihak kementerian bagi memastikan kejayaan pelan tindakan keselamatan makanan APEC ini di Pasca-2020 dengan pelbagai cabaran yang dihadapi negara dan global umumnya ketika ini.

Mengulas lanjut, kata Che Abdullah (Pas-Tumpat) komitmen ini juga telah diperkukuhkan melalui persidangan maya yang telah dipengerusikan oleh menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri dengan penyertaan bersama menteri perdagangan dan 21 menteri-perdangan dari negara anggota APEC pada 26 Julai 2020.

“Kerjasama dan peranan aktif daripada sektor swasta melalui majlis penasihat perniagaan APEC turut diberi perhatian bagi memastikan pemulihan ekonomi selepas Covid-19 yang lebih mampan dan membawa penyelesaian serantau jangka panjang,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia juga bersedia berkongsi pengalaman serta inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan bagi merancakkan semula aktiviti pertanian pengeluaran makanan serta memulihkan ekonomi petani kecil dan negara melalui pakej prihatin dan pakej PENJANA.

Sementara itu, katanya MAFI selaku kementerian bertanggungjawab ke atas sekuriti makanan akan memastikan bekalan makanan negara sentiasa berterusan pada harga yang berpatutan dan selamat bagi rakyat Malaysia.

“Sebarang gangguan bekalan makanan daripada negara pengeluar akan ditangani segera melalui hubungan perdagangan yang baik di peringkat serantau dan setakat ini kita tidak ada sebarang masalah gangguan makanan dalam suasana Covid-19 ini,” ujarnya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -