Suara rakyat selari dengan titah Tuanku Sultan Pahang

Isu pekebun haram di Raub

- Advertisement -

PEMUDA PAS menyokong penuh penegasan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bertindak kepada mereka yang mencerobohi tanah di negeri Pahang serta bersedia untuk menjadi mata dan telinga kepada Tuanku Sultan dalam menangani isu ini.

Titah Sultan Pahang dengan nada tegas adalah bertitik tolak daripada kedegilan pekebun haram menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara hukum. Tindakan pencerobohan hutan simpah oleh pekebun haram selama puluhan tahun ini  telah melanggar Akta Penghutanan 1981 dan Akta LHDN.

Polemik ini semakin hangat apabila tular video memaparkan Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui mengetuai pekebun haram menghalang dan memprovokasi penguatkuasa yang menjalankan tugas dalam operasi memusnahkan kebun haram Musang King di Sungai Ruan pada 8 April lalu.

Meskipun DAP begitu lantang mencanangkan partinya menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan menghormati kedaulatan undang-undang. Namun, dalam isu pencerobohan hutan simpan dan tindakan provokatif ahli parlimennya, DAP masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau tindakan.

Justeru, Pemuda PAS  menuntut untuk DAP membuktikan partinya menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang dengan pendirian rasmi parti, bukannya hanya berselindung di sebalik peguam serta mengambil tindakan tegas kepada Ahli Parlimen Raub.

Pemuda PAS juga menggesa untuk pihak berautoriti mempercepatkan proses perbicaraan dan mengambil tindakan secara telus dan adil  kepada pekebun haram mengikut lunas undang-undang. Awas Kerajaan Madani! Jangan sesekali ada sebarang campurtangan politik dalam siasatan terhadap ahli parlimen Raub.

YB USTAZ MOHD HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!