Ujian ini tarbiyah agar tidak mencintai duniawi

- Advertisement -

PAYA BESAR: Ujian diberikan Allah S.W.T diharap menjadi proses mendidik diri untuk menyerahkan segalanya kepada Dia dan tidak berdukacita terhadap luputnya dunia yang Dia pinjamkan kepada hamba-Nya.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menghuraikan bahawa hakikatnya ujian tersebut adalah merupakan tarbiyah dan sebenar-benar kehidupan ini akan sentiasa dalam tarbiyah Allah S.W.T.

- Advertisement -

Kata beliau, perkara sama akan berlaku kepada umat manusia lainnya dengan hilang atau lumpuh segala yang dimiliki di mana menunjukkan kekuasaan Allah betapa mudah untuk Dia memusnahkannya.

“Jadi, (ujian) ini proses awalan (tarbiyah) dari Allah untuk kita tidak mencintai dunia. Memang dunia ini akan binasa, cuma apabila berlaku kepada kita, bagaimana kita menghadapinya? Bagi Kak Nuri, orang yang dipilih Allah (menerima ujian) ini, memang manusia yang ‘special’.

“Apa yang tinggal pada kita (setelah Allah musnahkan dunia dimiliki)? Tak lain adalah keimanan kita kepada Allah. Kesabaran kita terhadap ujian ini dan pasti kekal adalah Akhirat,” ujarnya menguak pintu muhasabah.

Beliau menuturkan keyakinan tersebut kepada para alimat yang disantuni dalam Majlis Serahan Sumbangan Banjir Dewan Muslimat PAS Malaysia di Dewan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Darussalam, Permatang Badak, di sini kelmarin.

Ucapan yang menjadi taujihat kepada mereka dalam kalangan mangsa banjir itu turut merangsang diri untuk sentiasa dekat dengan Allah dan menjadikan diri lebih bersedia beramal meneruskan tugas mendaulatkan Islam.

“Semuanya ditentukan Allah, pasti ada hikmah dan dari masa ke semasa Allah ajar kita memahami segala yang dikehendaki-Nya kepada umat manusia. Teruskan berdoa untuk dunia dan akhirat kita serta agar digantikan yang hilang dengan yang lebih baik.

“Paling utama, kita mesti berdoa Allah menambahkan iman dan keyakinan kita kepada-Nya. Juga agar kesabaran Allah kurniakan (dari ujian ini) menatijahkan sesuatu yang lumayan untuk dunia dan akhirat kita,” ujar beliau.

Menurut beliau, ujian hingga menyebabkan kehilangan dan kemusnahan itu pastinya akan Allah gantikan dengan rezeki di dunia atau ganjaran lebih baik di akhirat kelak bagi mereka yang sentiasa mengingati bahawa semua itu dari-Nya.

“Kadang semua ini ada dalam kepala kita dah. Tapi apabila berlaku, mungkin peringkat awal kita panik, mungkin rasa sedih. Bukan tidak terima qada’ dan qadar takdir ditetapkan Allah. 

“Tapi hingga dapat rasa bertenaga (kembali) dan redha (dengan ujian tersebut), itulah muhasabah untuk tahap iman diri sendiri,” ujarnya memandu peringatan buat 28 alimat dari PAS Kawasan Kuantan dan PAS Kawasan Paya Besar di majlis ini.

Hadir sama adalah Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Malaysia, Zurina Din serta Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussain. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -