Misi bantuan banjir digerakkan di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Mertajam telah melaksanakan misi bantuan kepada penduduk yang menjadi mangsa banjir di sekitar Kampung Tasek Junjong, di sini semalam.

Advertisement

Misi ini telah menggerakkan operasi mencuci dan menyampaikan sumbangan bantuan keperluan asas dapur kepada keluarga mangsa terlibat dalam banjir lumpur yang disebabkan hujan lebat sejak kelmarin.

Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Bukit Mertajam, Mohd Anuar Abdul Rahman dan Muhammad Solihin Shafiee telah memimpin misi tersebut dalam usaha meringankan beban mangsa.

Turut bersama menjayakan misi kebajikan dan kemasyarakatan ini adalah anggota-anggota uniform merah PAS diketuai Timbalan Komander Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Bukit Mertajam, Suhaimi Ismail.

“Memandangkan amaran hujan telah dikeluarkan, saya sangat berharap agar seluruh anggota AMAL bersiap sedia memberi pertolongan dan bantuan segera kepada mangsa banjir,” ujar Mohd Anuar.

Turut serta dalam misi bantuan dan mencuci rumah penduduk ini adalah beberapa orang pemimpin PAS Cawangan setempat. – HARAKAHDAILY 23/11/2020