Kes terowong: LGE diikat jamin RM1 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

- Advertisement -

Hakim Azura Alwi membenarkan Lim, 60, membayar jaminan RM500,000 hari ini manakala bakinya hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya pada Isnin selain memerintahkan pasport antarabangsa dan diplomatik Ahli Parlimen Bagan itu diserahkan keada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen yang akan subjudis terhadap kes itu.

“Apabila kes sudah didengar di mahkamah, adalah menjadi tanggungjawab masing-masing supaya tidak mengeluarkan apa-apa komen yang akan subjudis kepada kes ini. Aduan boleh dibuat kepada pihak tertentu sekiranya terdapat komen sedemikian,” kata Azura yang turut menetapkan 9 September untuk sebutan semula kes.

Berhubung permohonan pendakwaan supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada setiap minggu pertama setiap bulan, hakim berkata perkara itu tidak perlu, kerana jumlah jaminan yang ditetapkan adalah tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia  terhadap Lim dan memohon dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Wan Shaharuddin berkata jumlah jaminan RM2 juta adalah munasabah memandangkan status tertuduh ketika melakukan kesalahan adalah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan dia juga telah melanggar kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

“Mohon mahkamah mengambil kira jenis kesalahan dilakukan serta jawatan yang disandang oleh tertuduh ketika itu. Kesalahan rasuah diibaratkan sebagai ‘kanser’ kerana sesuatu tamadun masyarakat yang maju boleh musnah dengan sekelip mata dengan kesalahan rasuah ini. Malaysia boleh musnah dalam sekelip mata dengan adanya rasuah.

“Pihak kami juga berharap supaya mahkamah ini tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Pulau Pinang sebelum ini yang tidak mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dalam kes rasuah (pembelian lot tanah dan banglo) dihadapi tertuduh,” katanya.

Wan Shaharuddin juga memohon tertuduh dilarang menganggu saksi pendakwaan di dalam kes ini dan sekiranya terdapat aduan bahawa tertuduh menganggu saksi berkenaan, pihak pendakwaan memohon jaminan yang diberikan kepada tertuduh dibatalkan oleh mahkamah.
 
Wan Shaharuddin berkata Lim juga akan didakwa di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang pada Isnin depan dan sekiranya jaminan yang tinggi diberikan kepadanya, pihak pendakwaan hanya akan mengguna pakai jaminan di mahkamah ini.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim memohon jaminan RM500,000 atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dan beliau tetap hadir ke pejabat SPRM Putrajaya, 10 malam tadi untuk memberi keterangan.

“Anak guam saya tidak bersalah sama sekali dan beliau akan menggunakan mahkamah untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Oleh itu, pihak kami membantah sekeras-kerasnya jumlah jaminan RM2 juta yang ditawarkan oleh pendakwaan,” katanya yang turut memaklumkan tiada sebarang jumlah amaun yang dinyatakan di dalam pertuduhan.

Mengenai isu pasport tertuduh yang tidak diserahkan kepada mahkamah dalam kes pembelian banglo dihadapinya, Gobind berkata tiada bukti yang menunjukkan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes berkenaan dan beliau juga tidak perlu hadir ke pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan seperti dimohon pihak pendakwaan.

“Anak guam saya tidak perlu melapor diri ke pejabat SPRM kerana beliau akan hadir ke mahkamah mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” katanya yang turut memaklumkan tiada risiko untuk Lim melarikan diri.
 
Terdahulu sejurus selepas jurubahasa membacakan pertuduhan, Lim yang memakai sut hitam berkata “tidak bersalah”.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang di mana Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurut peruntukan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Turut hadir dalam prosiding itu, bapa Lim yang juga penasihat DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
 
Sebelum prosiding bermula, berlaku sedikit kekecohan di dalam galeri awam apabila ADUN Sungai Pelek, Selangor Ronnie Liu, yang tidak mempunyai pas untuk memasuki bilik bicara mahkamah, enggan keluar selepas diminta oleh polis dan kakitangan yang bertugas.

Ketika diminta keluar, Liu menjawab, “Undang-undang kata selagi ada ruang, kita boleh duduk di situ” (merujuk kepada kerusi di galeri awam yang beliau duduk) dan seorang kakitangan mahkamah kemudiannya menjelaskan kepada Liu bahawa sekiranya terdapat individu yang mempunyai pas ingin masuk ke dalam bilik bicara, Liu akan diminta beredar dari tempat duduknya.

Lim sebelum ini, menghadapi pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran bagaimanapun pada 3 Sept 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Lim menulaskan jaminan RM500,000 hari ini. – BERNAMA

- Advertisement -