Ketua Dewan Muslimat PAS Padang Terap, dijemput Ilahi

Almarhumah Sariah Salam
- Advertisement -

PADANG TERAP: Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Terap, Sariah Salam, ke Rahmatullah, hari ini.

Sariah, 60, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, Kampung Barokas, Kuala Nerang, kira-kira jam 3.44 petang.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, menyifatkan pemergiaan Almarhumah satu kehilangan yang besar kepada PAS, terutama Dewan Muslimat.

“Sariah antara yang sama-sama berjuang mempertahankan tanah Muasasah Darul Ulum di Pokok Sena, suatu ketika dahulu dan menerajui Dewan Muslimat PAS Padang Terap, sejak beberapa penggal hingga sekarang,” katanya dengan nada sayu, ketika ditemui Harakahdaily di rumah Al-Marhumah hari ini.

Almarhumah juga merupakan seorang yang pemurah dan sering menjemput rakan-rakan makan di rumah.

Sariah sebelum ini menjalani pembedahan appendiks di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Dua hari menjelang Ramadan, beliau dibenarkan pulang ke rumah namun dimasukkan semula ke hospital kerana implikasi darah beku dalam perut.

Ibu tunggal kepada lima orang ini, bukan sahaja terlibat dengan Dewan Muslimat secara langsung, sebaliknya Ahli Majlis Daerah Padang Terap itu aktif dalam kegiatan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jenazahnya akan dikebumikan pada jam 10 malam ini di tanah perkuburan Islam, kampung berkenaan.

Berikutan itu, Harakah dan seluruh kakitangan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampuni segala dosa serta diterima segala amal baiknya. – HARAKAHDAILY 31/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!