Pelik, projek tebatan belum mula dikata menjimatkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan kerajaan mampu menjimatkan sehingga RM1.8 bilion dianggap pelik memandangkan tiga projek tebatan banjir yang ditangguhkan belum lagi dimulakan.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek tebatan yang dikatakan menjimatkan wang kerajaan sebenarnya belum lagi ditender.

- Advertisement -

“Bagaimana pula kerajaan boleh kata dapat jimatkan sehingga berbilion ringgit sedangkan projek itu belum dimulakan,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Disember lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata kelulusan melalui tender terpilih yang dilaksanakan projek pengurusan banjir bernilai RM15 bilion yang diluluskan pentadbiran terdahulu, membawa penjimatan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, proses berkenaan dilaksanakan terhadap projek pengurusan banjir sebelum ini dilaksanakan secara rundingan terus tanpa tender.

Beliau kemudian mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion daripada keseluruhan RM15 bilion projek pengurusan banjir tidak diteruskan.

Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim berkata, negara mengalami kerugian berpuluh bilion setahun disebabkan bencana banjir yang sering berlaku.

Katanya, perubahan iklim yang berlaku sekarang menyebabkan kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku banjir turut berdepan bencana alam itu.

Beliau berkata, projek fasa III tebatan banjir Sungai Golok di Rantau Panjang juga belum diluluskan.

“Begitu juga projek fasa II tebatan banjir Sungai Golok pun belum lagi dilaksanakan. Jadi bagaimana kerajaan boleh kata kerajaan dapat menjimatkan berbilion wang kerajaan,” ujarnya.

Sedangkan, katanya projek tebatan banjir begitu penting sama ada yang dilakukan secara tender terbuka atau tender terhad dengan mengambil kira perubahan iklim sekarang. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!