KUALA LUMPUR: Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) membangkitkan masalah sistem saliran di kawasan Pasir Puteh, terutama yang membabitkan penanaman timun bagi memastikan petani tidak mengalami kerugian besar, terutama pada musim banjir.
Menurutnya dalam bidang pertanian ini, terdapat dua perkara, iaitu padi memerlukan air yang bertakung, tetapi tembikai tidak memerlukan keadaan begitu.
“Memang banjir bukan sahaja menjejaskan padi, manusia pun boleh tenggelam. Saya ingin tahu sejauh mana kerajaan bersedia untuk membuat saliran yang mencukupi, terutama di kawasan Pasir Puteh dan kawasan penanaman timun ini, saliran dari kawasan kebun sampai ke Sungai Kemasin.
“Ada pun dalam kebun ke saliran itu terserah kepada petani, tetapi kalau boleh pihak kerajaan beri fokus di kawasan Pasir Puteh kerana mereka menghadapi kerugian yang besar.
“Bukan sahaja pada musim tengkujuh, tetapi apabila hujan sahaja mereka berdepan kerugian. Begitu juga, sejauh mana kerajaan bersedia untuk memberi ganti rugi ketika bukan musim banjir?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, petani perlu bijak memilih tempat untuk menanam tanaman bagi mengurangkan risiko kerugian.
“Kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif utama untuk memastikan sektor pertanian dapat diteruskan walaupun dalam keadaan cuaca ekstrem.
“Kita tahu timun cina atau termbikai lebih sesuai di kawasan kering. Masalahnya, tebu pula biasanya mahu tempat yang lembap. Jadi, penanam-penanam hendaklah bijak memilih tempat yang sesuai untuk ditanam,” katanya.
Mengikut soalan asal, Nik Muhammad Zawawi meminta kerajaan menyatakan langkah mitigasi bagi memastikan sektor pertanian tidak terjejas ketika musim banjir, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!