Isu kesihatan awam semakin meruncing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif jangka masa pendek, panjang dan segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kesihatan awam.

- Advertisement -

Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, titah Yang di-Pertuan Agong menyentuh mengenai peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua.

“Dapatan kajian perangkaan (mendapati) jangka hayat umur warganegara Malaysia bagi lelaki adalah 72 tahun dan wanita 75 tahun.

“Kalau kita bahagikan kepada jangka hayat ini 25 tahun adalah dikhususkan kepada sektor pendidikan. Kemudian sebelum daripada warga emas umur 60 tahun, daripada umur 25 sehingga 60 itu sektor ekonomi memainkan peranan.

“Apabila masuk usia warga emas sebagai sebuah negara menua, maka kita dapati apa yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, iaitu peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua merupakan antara isu kesihatan yang perlu menjadi keutamaan kerajaan,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan berkata, hospital kerajaan terutama di ibu negeri atau di bandar besar adalah terlalu sesak, situasi ini mewujudkan pelbagai masalah yang menjejaskan kualiti kesihatan kepada pesakit.

Katanya, ini termasuk masa pendaftaran yang terlalu lama, masa menunggu yang lama kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan dan proses kemasukan dalam wad lambat kerana tiada katil yang kosong.

“Pesakit dibenarkan keluar wad sebelum mereka betul-betul cukup sembuh untuk memberi ruang kepada kes yang menunggu rawatan, peningkatan risiko dijangkiti kuman daripada pesakit lain.

“Bilangan pesakit melebihi kapasiti wad yang mewujudkan suasana kerja yang tertekan untuk jururawat dan doktor, tekanan jiwa untuk kakitangan yang kerja di wad penuh dan sesak serta isu-isu lain,” katanya.

Ini menyebabkan beliau mempersoalkan inisiatif jangka masa pendek, panjang serta segera oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengatasi masalah itu. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

- Advertisement -