Status Bumiputera kepada bangsa Cina Sarawak pula?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mempersoal cadangan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien supaya masyarakat Cina di Sarawak diberikan status Bumiputera.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, kepelbagaian bangsa dan etnik yang ada di Sarawak sudah cukup memadai tanpa perlu memberi status Bumiputera kepada bangsa Cina di Sarawak.

“Sudahlah selama ini apa yang hak Bumiputera dapat seolah-olah bangsa lain juga dapat menikmatinya tapi hari ini ada pula desakan untuk memberikan status Bumiputera kepada orang Cina?

“Apa mesej yang Yang Berhormat (YB) Parlimen Julau ingin sampaikan? Apakah hak hak orang minoriti yang ada di Semenanjung termasuk Sabah Sarawak tidak cukup?

“Sehinggakan Yang Berhormat sanggup memberi cadangan yang tak masuk akal dengan memberi status Bumiputera kepada orang Cina?

“YB Parlimen Julau perlu tahu kekayaan ekonomi di negara ini telah berjaya dikuasai hampir semua masyarakat minoriti, termasuk sistem pendidikan yang mengatakan urusan pendidikan rakyat Cina adalah urusan parti politik tertentu yang menguntungkan bangsa atau kaum tertentu?

“Jadi adakah hak status Bumiputera juga harus diberikan kepada rakyat minoriti iaitu Cina di negara ini,” kata Irwan Fahmi menerusi satu kenyataan semalam.

Justeru, pihaknya menggesa Kerajaan Negeri Sarawak supaya tidak melayan permintaan tidak masuk akal oleh Ahli Parlimen Julau yang juga bekas Ketua PKR Sarawak tersebut.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, Richard Wee malah sebelum ini menolak cadangan Larry yang kini Presiden PBM dengan hujah dasar sedia ada sudah boleh diterima oleh semua kaum. – HARAKAHDAILY 29/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!