Tarian singa di surau: Ketegasan JAIPk dihargai

- Advertisement -

SAYA mewakili Badan Perhubungan PAS Perak mengucapkan jutaan terima kasih atas keputusan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Keputusan yang diambil adalah sangat tepat dan semoga perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa-masa mendatang.

- Advertisement -

Suka saya menyatakan walaupun kita punyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan meskipun bertaraf Menteri, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan apa sahaja jawatan dalam kerajaan, itu tidak bermakna segala tindakan yang kita lakukan tidak perlu merujuk kepada JAIPk dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk). Kita perlu menghormati instisusi kerajaan ini.

Merujuk kepada isi penting kenyataan media Pengarah JAIPk mendapati, ada berlakunya acara tarian singa, perbuatan membakar mercun, dan ucapan Ahli Parlimen Ipoh Timur semasa program diadakan.

Tarian singa dan membakar mercun dalam kawasan surau telah mencetuskan reaksi negatif dan kemarahan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tindakan menjemput Ahli Parlimen berucap dalam program sambutan tersebut mungkin boleh dilihat sebagai suatu perbuatan yang bercanggah dengan arahan pernah dikeluarkan oleh JAlPk.

Perkara ini sedang diteliti di bawah Peraturan 23, Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015 yang memperuntukkan Pengerusi hendaklah menjalankan apa-apa tugas lain yang diarahkan oleh MAIPk atau JAIPk dari semasa ke semasa.

Berdasarkan acara-acara yang berlangsung di Surau Al-Qamar pada 1 Februari 2020, JAIPk berpendirian bahawa Jawatankuasa Surau telah membenarkan aktiviti yang bercanggah dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh JAIPk.

Pada jam 7.45 malam, 1 Februari 2020, JAIPk telah sekali lagi menemui Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Qamar, disusuli dengan siasatan untuk mengesahkan perkara-perkara yang didakwa berlaku menurut yang ditularkan di dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Surau mengaku berlangsungnya tarian singa dan Ahli Parlimen lpoh Timur menyampaikan ucapan dalam kawasan surau. Pegawai JAIPk juga mengesan taburan sisa pembakaran mercun di luar pagar surau.

Sekian, terima kasih.

HAFEZ SABRI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Perak

13 Jamadil Akhir 1441 | 7 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 7/2/2020

- Advertisement -