Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (45)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُ ۖ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

“Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu Khadir memperbaikinya. Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”

Ibrah akhir zaman

Ayat ini berkisar mengenai upah. Dr Abdul Karim Zaidan mengupas ayat ini dari sudut pandang dakwah dan izzah Islam kerana Nabi Musa dan Khadir kedua-duanya merupakan utusan Allah yang mewakili imej Islam. Menurut beliau, orang yang mewakili Islam perlu bijak dalam mempertimbangkan soal menerima sesuatu daripada pihak lain.

Pemberian menjadi perbahasan fiqh yang agak luas. Oleh itu ia tidak boleh dipandang ringan. Sebagai wakil Islam, sekiranya tidak sampai tahap darurat untuk menerima bantuan, maka tidak harus kita menerimanya. Perkara ini boleh difahami dalam surah ini dari sikap Nabi Khadir yang melakukan khidmat yang diperintahkan oleh Allah secara percuma walaupun beliau berhak mendapatkan upah. Juga kisah Zulkarnain yang akan kita baca, Baginda menolak upah yang ditawarkan untuk membina tembok Yakjuj dan Makjuj.

Kerana itu jugalah apabila Nabi Syuaib menawarkan makanan kepada Nabi Musa, pada awalnya beliau menolak. Menurut al-Qurtubi, diriwayatkan bahawa Nabi Musa tidak makan lebih tujuh hari tetapi Baginda langsung tidak meminta upah daripada anak Nabi Syuaib ketika membantu mereka mendapatkan air sebaliknya hanya berdoa kepada Allah. Begitu juga apabila ditawarkan untuk makan, Nabi Musa menjawab:

“Kami kaum yang tidak menjual agama demi emas sepenuh bumi.”

Menerima pemberian atas tugas agama terutama daripada individu atau entiti bukan-Islam boleh menjatuhkan izzah Islam. Perkara ini memberi pengajaran kepada entiti yang mewakili Islam terutama negara umat Islam supaya bersikap baraah (melepaskan diri) daripada kebergantungan terhadap pemberian pihak asing selain sesama Islam. Ini kerana melihatkan keadaan dunia hari ini, mustahil pemberian itu diberikan percuma tanpa sebarang niat terselindung.

Malangnya dunia Islam hari ini sudah terbalik. Sejarah kejatuhan Uthmaniah dan wilayah-wilayah kekuasaan Islam berpunca dari umat Islam yang menerima bantuan asing termasuklah khilafah sendiri. Khalifah Abdul Hamid I menerima pinjaman daripada Kerajaan British, Bani Saud di Najd dan Bani Hashim di Hijaz menerima bantuan persenjataan dari British, dan ramai lagi birokrat serta rakyat Islam menerima suapan musuh untuk membawa doktrin dan menjayakan agenda Barat.

Sejarah masih berterusan hingga hari ini. Banyak negara Islam begitu rapat dengan pihak asing terutama Barat yang terang-terangan beragenda terhadap Islam, tetapi mengabaikan hubungan kerjasama sesama Islam. Ikatan ukhuwah Antarabangsa seperti OIC hanya sekadar retorik yang tidak membela langsung nasib umat Islam di Palestin dan negara bergolak lain. Bahkan bantuan yang diterima oleh HAMAS daripada Iran bagi membela Palestin dipertikaikan hampir seluruh dunia Sunni atas alasan Iran adalah Syiah, tetapi membisu bila HAMAS memohon bantuan.

Dr Abdul Karim Zaidan turut menasihat supaya pendakwah sering membawa bekal mencukupi dalam misi dakwah mereka supaya situasi kebergantungan terhadap mad`u tidak berlaku. Secara tersirat, kita mesti memperkuatkan ekonomi dalaman umat Islam terlebih dahulu supaya imej Islam tidak terencat.

Perkara ini turut perlu dititik beratkan oleh jamaah Islam. Mereka perlu memiliki kedudukan kewangan yang kukuh untuk membiayai peranan mereka memperjuangkan Islam. Kerana itulah Imam Hasan al-Banna menggariskan kemampuan untuk mencari makan (قَادِرًا عَلَى الكَسْبِ) sebagai salah satu Muasafat Tarbawiyyah. Dalam buku Durus al-Amal al-Islami, Said Hawa cukup tegas dalam membahaskan perihal penerimaan bantuan pihak luar termasuk bantuan daripada orang Islam sendiri yang bukan anggota jamaah.

Situasi sekarang adalah latihan untuk kita menghadapi dugaan Dajal akan datang. Bila kemarau semakin teruk, Dajal muncul menawarkan bantuan. Apakah kita mampu bertahan dengan pesanan Nabi untuk makan akar kayu dan berzikir sahaja bagi menggantikan makanan, atau terpaksa meminta bantuan Dajal?

ALANG IBN SHUKRIMUN
10 Ramadhan 1441
3 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 3/5/2020

- Advertisement -