Exco tinjau kerja-kerja veterinar di Ladang Infoternak

- Advertisement -

SUNGAI SIPUT: Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria menghadiri program Lawatan Kerja dan Majlis Berbuka Puasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak di Ladang Infoternak, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ladang tersebut mula ditubuhkan pada tahun 1972 yang mana pada ketika itu ia diberi nama sebagai pusat ternakan dan demonstrasi haiwan, dan telah dirasmikan pada tahun 1980 oleh Almarhum Sultan Idris Shah yang kemudiannya dikenali sebagai Pusat latihan ternakan.

Menurut Pengurus Ladang, Dr. Aniskiha Mat Yunus antara objektif penubuhan ladang tersebut adalah untuk memberi latihan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan dan pengeluaran makanan ternakan di samping mengeluar dan mengagihkan baka baka ternakan bermutu.

Ia juga berperanan sebagai ladang contoh kepada komuniti ternakan dan pada masa sama turut memberi khidmat kepakaran kepada para penternak dan usahawan baru.

Program dimulai dengan lawatan ke persekitaran di mana Razman dibawa menaiki kenderaan ladang bagi melihat sendiri ternakan yang dijalankan antaranya ternakan rusa dan burung unta.

Selesai lawatan berlangsung taklimat dan sesi penerangan ringkas berkenaan operasi oleh Dr. Aniskiha dan juga taklimat oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, Dr. Ahmad Shafri Hassan.

Dalam taklimatnya Ahmad Shafri menyatakan perkhidmatan Veterinar mempunyai peranan luas bukan sahaja kepada perkara berkait penghasilan ternakan, malah turut berfungsi mengawal, mencegah dan menghapuskan penyakit haiwan dan zoonotik.

Sementara itu, Razman turut mengucapkan tahniah di atas semua perkhidmatan dan kerja-kerja yang dijalankan pihak Veterinar dan juga usaha memenuhi keperluan makanan negara khususnya di bidang penternakan.

Program pada petang semalam turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JPV Malaysia Dato’ Dr. Norlizan Mohd Noor dan satu perkara menarik dicetuskan di mana beliau menyatakan bahawa menternak atau memelihara haiwan sebenarnya merupakan salah satu terapi yang dapat menenangkan jiwa.

Rombongan seterusnya menuju ke dewan terbuka untuk majlis bacaan tahlil oleh Razman seterusnya berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah bersama para pegawai serta kakitangan JPV seluruh Perak yang hadir. – HARAKAHDAILY 21/42021

- Advertisement -