PAS, Umno dan BERSATU jadi pembangkang PRU15 jika….

pembangkang
- Advertisement -

GOMBAK: Sekiranya parti politik Melayu-Islam terus berpecah, maka tiada yang akan memenangi kerusi pilihan raya dan kembali menjadi pembangkang, demikian peringatan Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengingatkan bahawa PAS, Umno dan BERSATU, bahkan parti-parti lain tidak akan dapat memenangi pilihan raya menjadi kerajaan sekiranya bersendirian pada PRU15 nanti.

“Tolong ‘listed’ (senaraikan) kerusi mana yang kita eksyen (berlagak) sangat kalau kita pecah kita boleh menang? Tolong listed. Sebab itu kalau kita pecah, PRU14 (dulu) result dia keputusan begitu,” ujarnya.

Beliau menegaskan perkara tersebut ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Gombak di Dataran Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini malam kelmarin.

Nasihatnya supaya ‘jangan terhatuk batu terngadah’ kerana ketika itu tidak akan ada maknanya lagi kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’ disebabkan sentimen ketika ini sesama parti Melayu-Islam marah kepada satu sama lain.

“Kita lupakan, tak perlulah kita nak ungkit sejarah-sejarah apa yang mereka lakukan, tapi kita berjiwa besar, kita buka buku baru. Kita berpolitik biar nampak cerdik. Biar kita mati esok anak cucu kita kenang kita.

“Jangan kita mati nanti, anak cucu kita kencing atas kubur, datukku memang tak guna punya orang, berjuang kerana kepentingan perut. Nak bergaduh hingga kami jadi macam ni. 22 bulan tak serik lagi ke, Allah Taala masih sayang kepada kita,” nasihatnya.

Menurutnya, PAS mentarbiyah pimpinan dan ahlinya bahawa berpolitik adalah untuk menunaikan tanggungjawab kepimpinan yang sebenarnya berat di sisi Allah SWT, namun ia adalah amalan dan menjadi penentuan kehidupan setelah mati.

Jelasnya, berpolitik adalah hubungan dengan Allah dan sesama manusia di mana sungguhpun mungkin tidak setanding kehebatan para Khalifah ar-Rasyidin RA, tetapi mesti mencapai tuntutan telah ditetapkan Islam.

“Ini erti politik. Bukan kita berpolitik sampai menghancurkan masa depan anak cucu kita akibat daripada berpecah. Kata Allah, “Jangan kamu berpecah jangan kamu bertelagah kamu akan hilang kekuatan kamu”.

“Allah Taala telah beri amaran, Allah Taala telah bayar kepada kita PRU14, bagaimana kita lihat orang Islam yang 65 peratus dikuasai oleh 35 peratus pada waktu itu. Pasal apa berlaku begini? Kerana kita tidak bersatu.

“Sedangkan kita tengok Nabi S.A.W ajar kepada kita, Nabi hijrah ke Madinah, orang Islam minoriti, tetapi memerintah orang yang majoriti di Madinah. Sebab apa minoriti memerintah? Kerana bersatu.

Di Malaysia kita berpecah, maka inilah yang terjadi. Apa perkara sekalipun kita mesti meletakkan dalam hal-hal yang telah pun ditetapkan begitu. Maslahah Ammah itu mesti didahulukan daripada Maslahah Khossoh,” ujarnya.

Kerana itulah PAS kata beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), begitu bersungguh-sungguh dalam agenda Penyatuan Ummah untuk pastikan Islam didaulatkan.

Malah terbukti katanya, agenda tersebut memelihara masyarakat seluruhnya termasuk bukan-Melayu yang minoriti, tetapi keadaan menjadi sebaliknya apabila orang Islam diperintah oleh minoriti bukan-Islam.

Peranan bila sertai PAS

Peringat beliau kepada ahli-ahli PAS, apabila menyertai parti ini ada peranan mesti wujud antara terpenting adalah memiliki kefahaman perjuangan Islam dan menjadi sebahagian jentera gerak kerja.

Katanya, dengan kepelbagaian latarbelakang ahli dan pimpinan yang wujud di dalam PAS akan sentiasa menampung satu sama lain dan menghimpunkan kekuatan berjemaah sebenar.

Jelas beliau, mungkin ada yang menyertai PAS dengan pelbagai sebab dan semangat, namun apabila berada di dalam parti ini mesti mengikuti ketetapan telah diselaraskan dalam banyak perkara.

Antara contoh diberinya adalah mengenai perkara prinsip di mana PAS sama sekali tidak berubah, berbeza daripada perkara strategi seperti tahaluf siyasi untuk membanyakkan kawan kerana realiti tiada parti boleh bersendiri.

“Kalau tidak tak boleh menang. Kalau tidak tak boleh memerintah. Itu strategi, boleh berubah dan boleh tak berubah. Jadi laksana kerja pilihan raya, mesti atas dasar faham, bukan kerana semangat saja.

“Kalau semangat saja, kita tak boleh nak buat kerja ataupun kita tak tahu hala tuju yang kita nak buat,” nasihatnya supaya turut mempunyai ketaatan dan percaya kepada keputusan pimpinan.

Boikot pilihan raya?

Beliau turut menegur pandangan salah sesetengah anak muda yang marahkan politik sehingga mahu memboikot pilihan raya, sedangkan ia adalah wadah penting masyarakat dan negara melibatkan kepentingan masa depan generasi.

Terangnya secara mudah difahami, apabila pilihan raya tidak disertai oleh orang-orang yang baik, maka golongan jahat akan memenangi dan menguasai lalu mengetuai kehidupan semua pihak.

Hal itulah katanya, telah ditunjukkan PAS dalam pemerintahannya yang dibuktikan seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk kebaikan semua dan mengadakan _islah_ atau perubahan setakat kuasa diperuntukkan.

Menurutnya, biarpun ada kecacatan dan kelompangan dalam sistem demokrasi serta lebih mudah dirasa berdemonstrasi di jalanan, tetapi PAS sejak penubuhannya tetap juga menyertai pilihan raya.

Alhamdulillah. Walau bagaimanapun kita tidak berada di zon yang selesa. Kita tidak mahu pimpinan-pimpinan kita berada di dalam keadaan zon selesa. Kita tetap terus bekerja kita mengatur strategi di samping kita terus berdoa dan bermunajat dengan Allah S.W.T,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -