Jangan tertipu! Ini fakta sebenar vaksin Sinovac COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Vaksin Sinovac COVID-19 dihentikan pengeluarannya kerana tidak ada permintaan ketika ini dan bukannya disebabkan kesan sampingan membahayakan sebagaimana didakwa. 

Pakar perubatan, Dr Suhazeli Abdullah memberitahu, ini kerana pandemik COVID-19 sudah pun berakhir, malah kes COVID-19 di seluruh dunia tidak begitu ramai walaupun terdapat lagi kes-kes di setiap negara. 

“Tetapi tidaklah seteruk tahun 2020-2021 yang lalu. Oleh kerana permintaan sudah tidak tinggi maka pengeluarannya pun dihentikan bermula Januari 2024. Lagi pun vaksin yang paling banyak permintaan adalah vaksin Pfizer. 

“Penghentian pengeluaran tersebut bukan kerana kesan sampingan yang begitu serius. Tetapi lebih kepada permintaan yang menurun di seluruh dunia,” ujarnya meminta sebaran tidak sahih dihentikan.

- Advertisement -

Menurut beliau, mengenai kesan samping yang dilaporkan dari vaksin Sinovac COVID-19 jelas diketahui di mana secara umum bersifat ringan dan tidak berbahaya seperti sakit, bengkak, demam, mual, atau alahan. 

“Hanya ada beberapa kes kesan sampingan yang serius, seperti reaksi alergi atau anafilaksis, yang memerlukan bantuan perubatan secara teliti. 

“Video YouTube yang dikutip itu adalah ‘hoaks’ atau palsu yang bertujuan untuk menyebarluaskan informasi palsu dan menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

“Dokumen yang ditampilkan dalam video tersebut diambil dan diolah keluar dari konteks sebenar,” ujarnya menyarankan untuk tidak mudah percaya dengan informasi yang tidak memiliki sumber yang jelas dan berkredibiliti. 

Beliau menyeru agar menyemak terlebih dahulu sebelum sebar kerana bimbang termasuk dalam golongan yang menyebarkan berita palsu dan ianya amat dilarang dalam agama Islam. – HARAKAHDAILY 26/1/2024

- Advertisement -