MB santuni warga di bazar dan berbuka puasa bersama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyantuni sebahagian rakyat Kelantan dalam lawatannya ke Bazar Ramadan di Bandar Baru Lembah Sireh di sini.

- Advertisement -

Beliau ditemani isterinya, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payung Shaari Mat Yaman.

Mohd Nassuruddin yang tiba dengan berpakaian jubah dan kopiah, meluangkan masa menyantuni pengunjung dan peniaga bazar dari pelbagai lapisan umur.

Beliau bersama pimpinan kerajaan negeri lain turut berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan yang menjadi tumpuan penduduk untuk berbuka puasa secara santai bersama keluarga dan rakan.

Usai berbuka puasa, Menteri Besar mengimamkan solat Maghrib secara berjemaah.

Lokasi tersebut menjadi tumpuan dan dipenuhi oleh rakyat Kelantan untuk berbuka puasa saban tahun kerana kawasannya berhampiran bazar ramadan selain suasana senja yang sangat menarik.

Seawal jam lima petang, pengunjung sudah tiba dengan menghamparkan tikar serta menghidangkan juadah dibeli di bazar berhampiran atau makanan dibawa dari rumah.

Bukan sahaja penduduk Kota Bharu memenuhi kawasan lapang di tebing Sungai Kelantan, malah ada juga yang datang dari jajahan lain bagi merasai pengalaman berbuka puasa di tempat terbuka. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!