Kelantan berpotensi terajui industri kosmetik halal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berpotensi menjadi peneraju industri kosmetik halal di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan penglibatan belia serta usahawan di negeri ini dalam sektor tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Zamakhshari Mohamad berkata, negeri itu mempunyai ramai anak muda berbakat dan berminat dalam bidang perniagaan, terutamanya dalam industri kecantikan dan penjagaan diri.

Beliau terdahulu menerima kunjungan wakil Bio Tajmeel Cosmeceutical Sdn Bhd; syarikat tempatan di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang menghasilkan produk berasaskan bahan semula jadi melalui kaedah bioteknologi moden.

Menurut Zamakhshari, perbincangan tersebut membuka ruang kepada potensi kerjasama dalam memperkasakan industri kosmetik halal, sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi belia Kelantan.

“Jika dimanfaatkan dengan baik, anak-anak muda Kelantan boleh menjadi peneraju dalam industri kosmetik halal, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, dengan adanya kilang bertaraf GMP (Good Manufacturing Practice) serta kajian yang teliti, produk keluaran Bio Tajmeel bukan sahaja selamat dan berkualiti tinggi, malah mampu menjadi platform bagi usahawan tempatan membina jenama sendiri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bio Tajmeel atas kesudian berkunjung dan berkongsi pandangan dalam usaha memperkukuh sektor keusahawanan belia.

“Insya-Allah, perbincangan hari ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi belia serta usahawan tempatan untuk maju dalam bidang ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!