Jangan ghairah berbuka sehingga tertinggal solat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berbuka puasa secara santai di tempat terbuka dan menarik bersama keluarga dan sahabat handai, kini menjadi fenomena rakyat Kelantan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun dalam keghairahan itu, Timbalan Menteri Besar, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan menasihati rakyat agar tidak meninggalkan kewajipan lebih utama iaitu solat Maghrib.

Beliau berkata, waktu solat Maghrib dan Isyak terlalu singkat kerana dalam kegembiraan merasai juadah selepas seharian menahan diri makan dan minum, tanggungjawab itu sengaja diabaikan.

“Cuma saya ingin berpesan, sebaiknya cari tempat yang bukan sahaja bersih dan menarik, bahkan mudah terus menunaikan solat Maghrib secara berjemaah kerana waktu solat pendek.

“Kita bimbang terlepas pula kita dengan amal ibadat yang lebih afdhal solat fardhu,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan hari ini.

Ikutan atau ‘trend’ tersebut dapat dilihat berlaku di kawasan tepi Sungai Kelantan, Bandar Baru Lembah Sireh di sini kerana kesukaran untuk menunaikan solat usai berbuka puasa.

Menurutnya berbeza sekali sekiranya berbuka puasa di pekarangan Masjid Jamek Muhammadi dan Madinah Ramadan, selepas berbuka puasa boleh terus menunaikan amanah tuhan itu secara berjemaah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu turut meminta rakyat supaya mementingkan kebersihan, buang sampah di tempat disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang menjadikan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ perlu mementing aspek kebersihan bagi mengelakkan persepsi tidak baik kepada agama.

“Dalam melakukan amal ibadah, pastikan tempatnya bersih dan sesudah beribadah juga ditinggalkan bersih. Bimbang juga nanti timbul persepsi kita beribadah, ditinggalkan adalah kotoran.

“Tak pasal-pasal dengan sebab amalan yang tidak bertanggungjawab sebahagian dari kita, Islam pula yang tercemar,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!