Perlis tak rilek: Lebih 50 acara sepanjang 2025

- Advertisement -

KANGAR: Perlis bakal menjadi negeri yang paling sibuk pada tahun 2025 dengan lebih daripada 50 acara dirancang sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

- Advertisement -

Penganjuran ini tidak hanya menumpukan kepada acara bertaraf antarabangsa, malah merangkumi program komuniti yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Acara pelancongan pelbagai ini bertujuan mempromosikan Perlis sebagai destinasi utama di rantau ini, dengan tarikan alam semula jadi, budaya, seni, dan warisan yang unik.

Tahun 2025 dijangka membawa ribuan pelawat dari dalam dan luar negara, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi untuk sektor pelancongan negeri.

Pembuka acara ialah Perlis International Sunnah Convention 2025 (PISC 2025) yang berlangsung pada 24 hingga 27 Januari, konvensyen ini dijangka menarik penyertaan ulama dan pemikir Islam dari seluruh dunia.

Aktiviti seperti Pasar Terapung Larut Malam yang dijalankan sepanjang Januari, memberikan pengalaman unik kepada pelancong dengan suasana malam penuh warna-warni.

Bulan Februari menyaksikan kemunculan acara tahunan yang menjadi simbol negeri ini, iaitu Pesta Angin Timur Perlis 2025, berlangsung dari 14 hingga 16 Februari.

Acara ini, yang bermula sejak 2011, menawarkan pameran budaya dan aktiviti tradisional yang mencerminkan identiti Perlis.

Pada masa sama, Februari turut menampilkan Festival Mangga Harumanis, satu lagi ikon Perlis yang terkenal, diikuti Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis 2025, bakal melibatkan 32 negara.

Acara kebudayaan lain seperti Fiesta Aidilfitri dan Karnival Tahun Baru Cina memperkayakan lagi sambutan budaya negeri ini.

Masuk ke bulan Mac, fokus beralih kepada acara keagamaan dengan penganjuran Global Baitulmal Convention yang mengetengahkan kepentingan pengurusan zakat dan wakaf di peringkat global.

Pada April, Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan berlangsung pada 17 April, diikuti Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) dari 27 April hingga 2 Mei.

Acara ini menonjolkan peranan Perlis sebagai negeri yang memartabatkan syiar Islam.

Bulan Mei pula penuh dengan aktiviti seperti Perkampungan Sunnah Kali Ke-10 pada 9 dan 10 Mei, disusuli Citra Warna Kuala Perlis pada 16 Mei yang menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis.

Dari 23 hingga 25 Mei, Nakawan Rainforest Festival memberi peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan hutan hujan Perlis.

Pada 28 Mei hingga 1 Jun, First Perlis International ASEAN Kite Festival akan diadakan, menjanjikan keunikan dan kreativiti seni layang-layang dari seluruh rantau ASEAN.

Jun turut dipenuhi acara seperti Pesta Kopi dan Seni dari 13 hingga 15 Jun, yang mempromosikan seni tempatan dan budaya kopi.

Golden Hills Motor-X Festival pada 28 dan 29 Jun pula akan memikat penggemar sukan ekstrem dengan aksi mendebarkan.

Masuk ke bulan Julai, Badminton Malaysia Junior International Challenge 2025 dari 1 hingga 6 Julai dijangka menarik perhatian peminat sukan.

Selain itu, Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2025, berlangsung dari 26 Julai hingga 3 Ogos, menjadi platform untuk pencinta buku dan ilmu.

Bulan Ogos tidak kurang hebatnya dengan acara seperti Wang Gunung Trail Run 3.0 pada 2 dan 3 Ogos, diikuti Forum Pengurusan Keluarga Islam pada 14 Ogos.

Dari 22 hingga 27 Ogos, Perkhemahan Sunah Perlis akan berlangsung, diakhiri dengan Festival Warisan Nusantara 2025 dari 29 Ogos hingga 1 September.

Pada September, Pesta Air 2025, yang berlangsung dari 11 hingga 16 September, menawarkan pelbagai aktiviti air dan hiburan untuk keluarga.

Festival Fosil Perlis Geopark pada 24 dan 25 September pula akan mengetengahkan sejarah dan warisan geologi unik negeri ini.

Bulan Oktober menjadi pentas kepada acara sukan berprestij seperti Perlis Ultra Marathon (PUTRA) 3.0 pada 4 Oktober, diikuti The Northernmost International Bird Race dari 24 hingga 26 Oktober, yang akan memikat pencinta alam dan pemerhati burung.

November dipenuhi dengan acara intelektual seperti Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara dan Gastronomi Makanan Malaysia 2025, yang menonjolkan kepelbagaian hidangan tradisional negara.

Penghujung tahun dimulai dengan Perlis Mountain Day pada 13 Disember mengajak pengunjung mendekati alam semula jadi, manakala Hooligan Camp dari 26 hingga 28 Disember menawarkan aktiviti lasak dan hiburan luar.

Sebagai penutup, Perlis International Rock Festival bakal menjadi acara muzik yang dinanti-nantikan.

Dengan lebih 50 acara sepanjang tahun, kerajaan negeri menjangkakan lonjakan ketara dalam sektor pelancongan, ekonomi, dan budaya.

Hotel, restoran, serta perniagaan kecil dijangka mendapat manfaat langsung daripada kehadiran ribuan pelancong.

Namun, bagi memastikan kejayaan keseluruhan, cabaran seperti pengurusan logistik, penyelarasan acara, dan promosi antarabangsa perlu diberi perhatian serius.

Kerjasama antara agensi kerajaan, swasta, dan komuniti amat penting untuk merealisasikan visi ini.

Perlis benar-benar ‘tak rilek’ pada 2025, bersedia mencipta nama sebagai destinasi pelancongan utama dengan kepelbagaian aktiviti sepanjang tahun. – HARAKAHDAILY 31/12/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!