Beras bercampur: Kerajaan macam kartun, ruwaibidhah

Bagaimana zakat setelah terbukti beras campur?

- Advertisement -

KUANTAN: Isu beras tempatan yang dikatakan ‘hilang’ sejak setahun lalu kini muncul kembali dengan pendedahan bahawa ia sebenarnya telah bercampur dengan beras import.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan mempersoalkan kelewatan kerajaan dalam menangani isu itu yang telah memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Pada mulanya lebih setahun lepas beras mula hilang dari pasaran. Kononnya beras kena banjir, beras tak ditemui dan tak dapat dikesan. Kerajaan terlalu lemah untuk merungkai dan menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya.

Beliau menbidas, akibat kelemahan itu rakyat terpaksa membeli beras import yang jauh lebih mahal, sekali gus meningkatkan kos sara hidup.

“Setelah setahun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengatakan yang beras tempatan telah ditemui bercampur dengan beras import.

“Isu ini telah lama diketahui umum, tetapi kerajaan baru tahu dan sekarang masih lagi belum mengambil apa-apa tindakan?” pertikainya.

Namun, perkara yang lebih mengejutkan adalah kenyataan bahawa kadar zakat fitrah akan dikaji semula kerana rakyat kini makan beras campur.

“Dengan bebanan kos membeli beras yang semakin meningkat, tiba-tiba keluar kenyataan mengkaji semula kadar zakat fitrah kerana rakyat makan beras campur,” ujarnya.

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai satu bentuk ‘kekartunan kerajaan’ dan mengaitkannya dengan konsep ruwaibidhah, merujuk kepada golongan tidak layak diberikan tanggungjawab besar dalam menguruskan hal rakyat.

“Sampai bila kekartunan kerajaan ini akan berterusan? Isu beras campur tak selesai, tapi kemudian berjangkit pula kepada kadar zakat. Ruwaibidhah,” katanya.

Justeru, beliau mendesak kerajaan agar segera bertindak bagi menyelesaikan isu beras campur ini sebelum ia terus memberi kesan berganda kepada rakyat.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mendapati, kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa dicampur beras putih tempatan.

Oleh demikian, penetapan semula kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras yang sepatutnya diserahkan kepada Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam setiap negeri bagi menentukannya, susulan isu pembongkaran beras campur baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata jika isu itu jelas terbukti, ia boleh dibawa kepada pihak-pihak berkenaan untuk dipertimbangkan semula kerana kadar zakat fitrah ditetapkan ketika ini berdasarkan keputusan fatwa terdahulu. – HARAKAHDAILY 2/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!