BMF: Anjuran luar masjid juga diarah batalkan

    - Advertisement -

    PADANG RENGAS: Kempen Buy Muslims First (BMF) yang dipergiatkan menerusi penganjuran Karnival Jualan Produk Muslim akan dilangsungkan terbuka di Dataran Lenggong, Lenggong pada 9 November ini.

    - Advertisement -

    Namun, karnival tersebut menerima nasib sama dengan inisiatif yang dilaksanakan di masjid-masjid seluruh negeri ini apabila kelulusannya turut dibatalkan Majlis Daerah Lenggong pada 24 Oktober baru-baru ini.

    Karnival dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Pertubuhan Amal Lenggong itu menerima arahan langsung pembatalan kelulusannya dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

    Oleh demikian, berikutan pembatalan tersebut, pihak penganjur telah membuat keputusan mengubah lokasi karnival ke Kem PLKN Kota Lama, Kampung Changkat Duku, di sini dengan mengekalkan tarikh sama.

    “Kita amat kesal dengan sikap Kerajaan Negeri. Selepas kita (membatalkan kempen di masjid kerana) menghormati pihak istana, kita menganggap boleh menyewa di premis-premis awam, namun tetap juga dihalang.

    “Kita tidak faham apakah perkara sebenar yang menghantui pihak Kerajaan Negeri hingga kita tidak dibenarkan untuk mengadakan (karnival ini) di tempat awam.

    “Kita ucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri yang menghalang (lokasi) program ini (tempohari). Kita anggap ia sebagai promosi yang hebat kepada BMF. Halangan itu memberi isyarat bahawa BMF telah berjaya menghasilkan suatu gelombang rakyat.

    “Gelombang ini bukan daripada NGO. Kami cuma menyusun program untuk menyambut kemahuan rakyat yang ingin mendapatkan produk Muslim,” ujar Pengerusi UMMAH Perak, Dato’ Drs Khalil Idham Lim.

    Sementara itu menurut Pengerusi Pertubuhan Amal Lenggong, Muhammad Rifa’at Razman, beliau yakin sambutan di lokasi baru akan lebih baik berbanding asal kerana dapat menarik pengunjung dari Padang Rengas, Kuala Kangsar dan Lenggong.

    Katanya, karnival ini ialah satu kempen dan platform untuk memperkenalkan produk Muslim yang terdapat banyak di pasaran, tetapi tidak diketahui oleh para pengguna Muslim sendiri.

    “Bukan bermaksud kita boikot produk orang lain. Cuma kita nak supaya timbul kesedaran kepada pengguna Muslim supaya menyokong produk yang dihasilkan oleh orang Islam.

    “(Tujuannya) supaya mereka (peniaga Muslim) ini lebih berdaya saing untuk menghadapi produk-produk yang dah ada di pasaran,” ujarnya.

    Sebarang pertanyaan berkaitan tapak gerai boleh diajukan ke talian 013-507 9272 (Jamaluddin). – HARAKAHDAILY 3/11/2019

    - Advertisement -