Permataku Sejahtera: Sasar bayi keluarga B40

- Advertisement -

JERAI: Jelajah Permataku Sejahtera terkini menyasarkan enam keluarga di DUN Gurun yang disertai sendiri oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

- Advertisement -

ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar turut menyertai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri itu.

Menurut Dato’ Ashah, program itu menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM200 kepada setiap bayi yang dilahirkan di negeri bermula Mac 2024 melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

“Bantuan kewangan ini menyasarkan kelahiran bayi dari kalangan keluarga kurang kemampuan serta membuat permohonan dalam tempoh enam bulan bayi itu dilahirkan,” katanya.

Jelasnya lagi, borang permohonan boleh didapati di pejabat ADUN dan Penyelaras DUN dan terbuka kepada pemohon tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Bayi yang bertuah dikunjungi mereka, antaranya Nur Sofia Zara Zulkarnain, Muhammad Umar, Aura Medina,  Muhammad Khalis Dayyan, Nur Humairah Azzahra dan Nur Aisyah Humaira.

Jelajah Permataku Sejahtera yang turut melibatkan wakil Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu terdahulu menyasarkan penerima di beberapa DUN, termasuk DUN Pantai Merdeka, minggu lalu.

Dalam pada itu kata Baddrol, Permataku Sejahtera merupakan satu program yang sangat baik untuk membantu anak-anak dalam kalangan kurang berkemampuan dalam tempoh jangka panjang.

“Program ini mendapat sambutan ramai kerana insentif ini merupakan langkah simpanan awal khususnya kepada pendidikan anak-anak di masa hadapan,” kata  beliau.

Program ini merupakan naik taraf daripada program Anakku Sejahtera yang lalu serta dijenamakan semula bermula 1 Mac 2024 dengan menyasarkan bayi dari keluarga dari golongan B40.

Pemohon boleh melalui borang yang disediakan sama ada di pejabat daerah, pejabat penghulu, pejabat Ahli ADUN atau pejabat Penyelaras DUN seluruh Kedah.

Dalam pada itu, pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti salinan sijil kelahiran bayi, salinan kad pengenalan ibu dan bapa dan salinan penyata gaji untuk pengesahan pendapatan.

Borang permohonan yang telah lengkap diisi perlu mendapat pengesahan Penghulu sebelum dikembalikan ke Pejabat ADUN atau Penyelaras DUN bersama dokumen sokongan untuk disemak kelulusan.

Pemohon tidak perlu lagi membuka akaun SSPN seperti sebelum ini, sebaliknya pihak PTPTN akan menghantar senarai nama permohonan kepada pejabat kewangan dan perbendaharaan negeri untuk kelulusan peruntukan.

Sementara kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan jumlah bantuan daripada RM100 pada penggal lalu kepada RM200 bagi setiap permohonan kali ini. – HARAKAHDAILY 21/10/2024