PBSM Kelantan serah sumbangan dapur bergerak

ADUN Wakaf Bharu Mohd Rusli dan Timbalan Ketua Jajahan melihat dapur bergerak sumbangan PBSM Kelantan
- Advertisement -

TUMPAT: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan telah menyumbang lima dapur bergerak kepada lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kos setiap satu RM3,500.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Seri Buana Zainuddin berkata, empat daripada PPS itu telah disumbangkan di Daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok Pasir Puteh dan hari ini di Tumpat.

Menurutnya, pembelian dapur tersebut diberikan Kerajaan Negeri Kelantan kepada pihaknya bagi memudahkan penyediaan makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS.

Beliau memberitahu, dapur bergerak itu diserahkan kepada PPS yang mempunyai mangsa melebihi 200 orang bagi membolehkan makanan dapat disediakan dengan cepat dalam masa singkat.

“Setiap dapur ini mampu memasak nasi untuk 300 orang hanya dalam tempoh 45 minit, pada masa yang sama nasi yang dimasak juga tidak berkerak sehingga berlaku pembaziran,” beritahunya.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis penyerahan dapur tersebut di PPS Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, dekat sini semalam.

Dapur berkenaan diserahkan kepada Timbalan Ketua Jajahan Tumpat, Ahmad Fadhli Abdullah.

Hadir sama pada majlis itu, ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah dan Pengerusi Kebangsaan Pengurusan Bencana PBSM, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman.

Seri Buana memaklumkan, pihaknya akan memohon sumbangan lagi untuk membeli dapur bergerak tersebut bagi diagihkan pada PPS yang lain pula.

“Kita juga bersedia menerima sumbangan dari mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan seperti ini atau lain-lain bentuk sumbangan,” katanya lagi.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024

- Advertisement -