Status loji rawatan kumbahan jadi tanda tanya

- Advertisement -

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat perlu melakukan pemeriksaan bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin di loji rawatan kumbahan di Taman Lembah Maju, di sini.

- Advertisement -

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, status projek berkenaan yang sudah tergendala lebih 10 tahun juga menjadi tanda tanya penduduk tempatan.

“Apa sebenarnya status kerja menaiktaraf loji rawatan kumbahan di Taman Lembah Maju, Ampang yang telah berjalan lebih 10 tahun? Pemilik projek ini adalah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan tarikh serahan tapak kepada kontraktor adalah pada 5 Mac 2015.

“Walaupun tidak jelas pada papan tanda projek, namun dapat dibaca tarikh siap adalah pada tahun 2017 iaitu tujuh tahun lepas,” tulisnya di platform media sosial Facebook hari ini.

Menurut Iskandar, masyarakat setempat bimbang jika projek itu terbengkalai dan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk atau haiwan yang boleh mengancam penduduk, selain mencemarkan pemandangan imej Selangor sebagai negeri maju.

Beliau merujuk kepada projek Cadangan Menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Sub-Serantau Upper Kerayong Beserta dua Tingkat Bangunan Pentadbiran, Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dan juga Pondok Pengawal Di Atas Lot 44131, Taman Lembah Maju, Mukim Bandar Ampang, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan sebagaimana tertera di papan projek.

“Dari Jalan Bunga Mawar, jelas kelihatan projek tersebut belum siap sepenuhnya dan ini menimbulkan tanda tanya. Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat memberikan penjelasan di samping menyiapkan projek ini secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024