Apa persediaan kerajaan jika projek Segenting Kra dilaksana

Dr. Siti Mastura Muhammad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan adalah sedia maklum tentang dua cadangan inisiatif infrastruktur berskala besar di Selatan Thailand iaitu Jambatan Darat Chumpon-Ranong dan juga Terusan Segenting Kra.

- Advertisement -

“Dalam menghadapi persaingan daripada Jambatan Darat Chumpon-Ranong atau Terusan Segenting Kra sekiranya inisiatif tersebut dilaksanakan, langkah persediaan yang diambil Kerajaan adalah memfokus kepada pengukuhan kelebihan sedia ada sektor pelabuhan dan logistik negara kita,” kata Menteri Pengangkutan.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam soalannya, Siti Mastura meminta Menteri Pengangkutan menyatakan berapa jumlah transaksi hasil pendapatan yang telah dicatatkan oleh pelabuhan-pelabuhan di Malaysia dalam tempoh lima tahun dan apakah persediaan Kerajaan sekiranya projek Terusan Segenting Kra Thailand dilaksanakan.

“Pada masa ini, prestasi pelabuhan kita yang terbukti dapat memberi jaminan business certainty dan dedahan risiko perniagaan yang lebih rendah berbanding percubaan perkhidmatan baharu di Selatan Thailand,” ujar menteri itu lagi.

Katanya, daripada reputasi dan asas yang baik ini, pelabuhan-pelabuhan Persekutuan akan terus giat melaksanakan usaha-usaha pembangunan pelabuhan yang memfokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan produktiviti pelabuhan, penyediaan kapasiti dan infrastruktur pelabuhan yang mencukupi untuk menampung keperluan semasa dan masa hadapan serta pembangunan ke arah pelabuhan hijau selaras dengan penekanan terhadap prinsip ESG.

Beliau juga memaklumkan bagi tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, secara kolektifnya syarikat-syarikat pengendali (port operators) bagi kesemua tujuh Pelabuhan Persekutuan utama telah menjana pendapatan sebanyak RM32.46 bilion.

Katanya, pendapatan syarikat pengendali adalah amat bergantung kepada perkhidmatan pelabuhan yang ditawarkan serta jumlah kargo yang dikendalikan.

Menurutnya, syarikat pengendali adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan perbelanjaan modal (CapEx) sepanjang tempoh konsesi bagi membangunkan pelabuhan berdasarkan komitmen yang telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi.

“Harus ditekankan ialah segala kos pembangunan pelabuhan adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengendali melalui pelbagai sumber, termasuk daripada hasil pendapatan yang diperoleh,” katanya.

Justeru, ujarnya Kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan sebarang peruntukan untuk pembangunan di tujuh Pelabuhan Persekutuan utama tersebut. – HARAKAHDAILY 12/11/2024