Kibar bendera China tidak hormati sensitiviti rakyat tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu perarakan yang mengibarkan bendera China di Menara Condong, Teluk Intan, sempena Sambutan Guan Gong Sedunia baru-baru ini, telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM), Zulhilmi Suboh dalam satu kenyataan berkata, belum reda kontroversi kibar bendera China di Pulau Pinang oleh pelajar-pelajar, kini muncul pula insiden serupa di Teluk Intan.

“DPPNM berpandangan bahawa tindakan tersebut kurang menghormati sensitiviti rakyat tempatan.

“Kita mempunyai Akta Perhimpunan Aman dan penganjur seharusnya memastikan acara melibatkan warga asing mendapat kelulusan dan permit terlebih dahulu, selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook DPPNM, hari ini.

Beliau menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dalam insiden itu, termasuk dua wakil rakyat yang turut terpapar dalam kain rentang perarakan tersebut.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu, saling hormat-menghormati, dan mengelakkan tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Keharmonian yang telah lama kita nikmati perlu dipelihara dan tidak dicemari dengan isu-isu yang mencetuskan ketidakharmonian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/10/2024