Pemuda PAS kecam kibar bendera China, gesa tindakan tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras-sekerasnya tindakan biadab segelintir peserta perarakan sambutan Guan Gong yang mengibarkan bendera negara China secara terbuka di sekitar Menara Condong Teluk Intan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir berkata, tindakan subversif berkenaan telah menyentuh sensitiviti dan mengundang amarah majoriti rakyat Malaysia, sekali gus mengganggu kesejahteraan negara.

“Perkara ini bukanlah satu isu yang melibatkan perkauman, namun ianya adalah sebuah isu yang melibatkan kedaulatan dan sifat patriotik sebagai rakyat Malaysia.

“Belum reda pertikaian polemik sambutan luar biasa dua kapal perang China di Pulau Pinang dan krisis pencerobohan kapal China di perairan negara yang masih berlarutan, isu ini membangkitkan persoalan.

“Apakah penganjur tidak mengambil iktibar daripada polemik yang berlaku dan apakah status sensitiviti dan tahap kecintaan penganjur kepada negara?” soalnya menerusi satu kenyataan.

Justeru, Pemuda PAS menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pelaku dan penganjur atas perarakan tanpa permit polis dan tindakan mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

“Sekali lagi Pemuda PAS menyeru agar segelintir warganegara Malaysia yang tidak sensitif terhadap kedaulatan negara untuk tidak menganggu gugat keharmonian negara ini dengan tindakan subversif.

“Sayangilah negara yang telah dipertahankan sejak dahulu lagi oleh para pejuang tanah Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2024