Israel tahan, seksa wartawan muda Palestin

Aboud Battah. (FOTO: Middle East Eye)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Seorang wartawan Palestin berusia 17 tahun, Aboud Battah telah ditangkap oleh tentera Israel pada Jumaat berhampiran Hospital Kamal Adwan, utara Gaza.

- Advertisement -

Battah adalah salah satu daripada ramai rakyat Palestin yang ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) semasa pencerobohan dan serangan berterusan mereka ke atas Hospital Kamal Adwan yang kini dalam kepungan negara haram berkenaan, lapor Middle East Eye.

Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med, Ramy Abdu berkata bahawa IDF telah menyebabkan beliau diseksa, dan kemudian membawanya ke lokasi yang tidak diketahui, dengan menyatakan bahawa terdapat kebimbangan serius mengenai kehidupannya.

Battah berasal dari utara Gaza dan terkenal dengan suaranya yang ‘lantang’ semasa perang yang berlangsung antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas di Palestin, selain dokumentarinya mengenai serangan dan pendudukan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.

Beliau telah menarik perhatian warga maya, terutamanya di Timur Tengah, selepas organisasi Unicorn Riot yang berpangkalan di Amerika Syarikat memaparkan kisahnya, di mana beliau bercakap tentang ‘kebuluran paksa’ di Gaza di tengah-tengah peperangan yang berlaku.

Dalam dokumentari itu, beliau bercakap tentang bagaimana rakyat Palestin mencari rezeki asas, dan bagaimana flora asli membantu penduduk-penduduk di Palestin terus bertahan untuk hidup.

Battah memenangi hati di internet melalui gaya penyampaian ‘gembira’ beliau, kerana dalam semua ceritanya, beliau dilihat tersenyum walaupun sedang bercakap tentang pembunuhan kejam di Gaza.

Hanya beberapa jam sebelum penahanannya, Battah sempat berkongsi cerita di laman Instagram yang menunjukkan blok kediaman yang telah dibom di kawasan Jabalia.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa tentera Israel telah menceroboh Hospital Kamal Adwan, menahan ratusan pesakit, kakitangan perubatan, manakal penduduk yang dipindahkan terpaksa mencari perlindungan daripada pengeboman yang berterusan.

Beberapa kanak-kanak dilaporkan turut terbunuh selepas IDF bertindak kejam dengan mengebom stesen utama yang membekalkan oksigen di kawasan berkenaan. – Agensi / HARAKAHDAILY 26/10/2024

- Advertisement -