Iran henti semua penerbangan berikutan serangan Israel

Tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan yang dilancarkan Israel. (FOTO: Tehran Times)
- Advertisement -

TEHRAN: Iran telah menghentikan semua penerbangan ke dan dari negara itu sehingga diberitahu kelak berikutan serangan Israel ke negara itu.

- Advertisement -

Pertubuhan Penerbangan Awam Iran mengumumkan keputusan itu pada awal pagi Sabtu, di samping mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan perlindungan dan keselamatan perjalanan udara, lapor Al Arabiya.

Tindakan itu dibuat selepas zionis Israel mengumumkan ia menyasarkan tapak ketenteraan di Iran, walaupun tiada bukti kerosakan yang ketara daripada serangan yang telah dilaporkan di lapangan itu.

Serangan yang dilancarkan Israel menyaksikan beberapa bunyi letupan kedengaran di barat dan timur Tehran serta bandar Karaj, sambil video yang dirakam oleh penduduk Iran menunjukkan sistem pertahanan negara itu memintas pelancaran peluru berpandu di langit bandar berkenaan.

Konflik di Timur Tengah ketika ini semakin meruncing selepas Israel berikrar untuk melakukan tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu balistik yang dilakukan oleh Iran pada 1 Oktober lalu, di mana kira-kira 200 peluru berpandu telah ditembak ke negara haram itu.

Ketegangan antara zionis Israel dan Iran telah meningkat sejak Hamas, kumpulan pejuang Palestin yang disokong Iran dan berpangkalan di Gaza melancarkan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Hamas mendapat sokongan daripada kumpulan pejuang Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan, yang juga disokong kuat oleh Iran. – Agensi / HARAKAHDAILY 26/10/2024