KANGAR: Malaysia diramal mengalami perubahan cuaca melampau seperti hujan lebat luar biasa dan kemarau panjang bermula tahun depan, namun negara ini dilihat belum sepenuhnya bersedia menghadapi situasi tersebut.
Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA), Ir Ts Dr Mohmad Asari Daud berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu kepada persediaan sewajarnya.
“Negara tidak boleh memandang ringan perubahan iklim yang berlaku kerana ia membawa pelbagai impak, terutama ke atas sektor pertanian yang melibatkan soal keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau menambah, kemarau dan banjir akibat perubahan iklim bakal menjadi cabaran besar buat negara pada masa depan dan perlu diberi perhatian serius, iaitu bagaimana Malaysia mampu mendepaninya.
“Dalam tempoh lima tahun ini, kita mungkin berdepan dua peristiwa besar iaitu kemarau dan banjir ekstrem. Ada beberapa kajian dan ramalan berhubung perkara itu, ada yang kata ia boleh berlaku seawal tahun depan.
“Banjir ekstrem mungkin berlaku di Pantai Barat, manakala kemarau di Pantai Timur. Ia masih di peringkat ramalan, akan berlaku kemarau ekstrem pada 2026, diikuti banjir mungkin sekali atau dua kali,” katanya lagi.
Ir Ts Dr Mohmad Asari turut mengemukakan penekanan betapa Malaysia memerlukan persediaan dengan mengambil langkah-langkah yang tertentu.
“Jadi, apa yang perlu dilakukan? Antaranya, menyediakan infrastruktur yang cukup untuk menyimpan bekalan air, perlu ada lebih banyak takungan-takungan air.
“Malaysia perlu bersedia jika tidak mahu terkejut dengan situasi seperti kemarau dan banjir ekstrem akibat perubahan iklim ini,” ujarnya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula akhir Oktober ini berisiko membawa hujan lebih ekstrem disebabkan peningkatan suhu dunia, perubahan iklim dan pemanasan global.
Terkini, hujan lebat berterusan menyebabkan puluhan ribu penduduk di Lembah Klang terperangkap dalam banjir kilat sedalam kira-kira 0.5 meter.
Ir Ts Dr Mohmad Asari juga berkata, apabila kemarau berlaku, bekalan air akan menjadi terhad dan keutamaan sudah pastinya untuk kegunaan harian dan pertanian.
“Justeru, perlu ada kolam-kolam takungan berdekatan dengan kawasan-kawasan pertanian untuk memenuhi keperluan sektor berkenaan dan juga kolam-kolam sumber air untuk kegunaan harian,” katanya.
Beliau turut menambah, perubahan iklim disebabkan pemanasan global menjadi lebih kritikal apabila perbandaran dan pembangunan setempat mengurangkan daya tahan terhadap perubahan tersebut.
“Oleh itu, perlu ada langkah mitigasi bagi mengurangkan impak perubahan iklim. Malaysia juga perlu sentiasa mempersiapkan diri ke arah daya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.
“Kena buat pelbagai usaha untuk (meningkatkan) simpanan air bagi menghadapi masa kemarau, jika tidak kita akan dikejutkan dengan situasi bekalan air tidak cukup dan sebagainya disebabkan penghasilan (air) kita menurun,” katanya lagi.
Selain itu beliau menjelaskan, Malaysia telah beberapa kali diuji dengan insiden kemarau kritikal dan banjir yang di luar jangkaan dengan sebahagian dikaitkan dengan fenomena El Nino, La Nina atau perubahan iklim tersebut.
“Banjir dan kemarau tersebut tentunya ada juga kaitan dengan aktiviti manusia di serata tempat. Oleh yang demikian untuk mengurangkan impak kepada kehidupan dan harta benda.
“Semua pihak hendaklah mempunyai kesedaran dan keinginan untuk mengurangkan impak daripada pelbagai punca secara bersungguh-sungguh dan bersepadu,” jelasnya.
Beliau juga menambah, perubahan kepada guna tanah dengan pembangunan pesat sedikit sebanyak telah menjadikan daya tahan dalam menghadapi perubahan iklim secara semula jadi berkurangan.
“Pokok dan tumbuh-tumbuhan yang sering menjadi benteng kepada cabaran perubahan iklim semakin terbatas.
“Lantaran sebagai khalifah dan pentadbir bumi, kita harus mencari penyelesaian kepada masalah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!