ARAU: Dalam usaha mengatasi masalah kelewatan pengedaran padi benih yang sering berlaku setiap tahun, Perlis berusaha mengeluarkan benih padi sendiri bagi musim penanaman seterusnya.
Langkah ini diambil bagi memastikan bekalan padi benih yang lebih mencukupi dan tepat pada waktunya dapat diberikan kepada para petani negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis, Razali Saad sehubungan itu mengadakan perbincangan bersama pihak Kilang Padi Benih LTS Alam (M) Sdn Bhd di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada Program Pengeluaran Benih Padi Khusus untuk Negeri Perlis yang dijangka bermula pada musim satu tahun 2025.
“Ia dirancang pada bulan Mac 2025 nanti,” katanya kepada Harakahdaily dengan turut menekankan pentingnya kerjasama antara pihak kerajaan negeri, kilang padi dan petani dalam melaksanakan program ini dengan lancar.
Beritahunya, dengan adanya program ini, benih padi akan tersedia pada waktu yang tepat untuk para pesawah di mana langkah seterusnya melibatkan pencarian kawasan sesuai serta perjumpaan dengan petani terlibat dalam pengeluaran benih padi.
“Semua pihak yang terlibat diminta untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan kelancaran program tersebut,” katanya lagi.
Selain Razali, turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Yudy Hemzan Mustafa dan pegawai, Shahrul Mustaqim, serta wakil daripada LTS Alam (M) Sdn Bhd, Mad Zakpar Mahali.
“Kita harap perbincangan tadi dapat menghasilkan langkah efektif untuk memperkukuh sektor pertanian di negeri Perlis, dengan fokus kepada kemampanan dan kualiti benih padi tempatan.
“Langkah pengeluaran benih padi secara sendiri ini diharapkan dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada petani di Perlis, selain mengurangkan kebergantungan kepada bekalan benih dari luar,” ujarnya.
Terdahulu Harakahdaily melaporkan, Perlis bakal menghasilkan sebanyak 1,250 tan metrik atau 62,500 beg benih padi menjelang tahun depan, dalam usaha menampung lebih 32 peratus keperluan benih padi di negeri ini.
Menurutnya, sebanyak 500 hektar ladang benih padi akan diwujudkan secara berperingkat melibatkan 10 kampung di seluruh Perlis, dengan projek perintis seluas 50 hektar telah dilaksanakan di Kampung Semadong.
Ladang perintis tersebut katanya, melibatkan 42 peserta dan dijangka menghasilkan 125 tan metrik benih untuk musim ini. – HARAKAHDAILY 2/10/2024