PKP: Muslimat PAS Bangi bantu ahli terjejas pendapatan

- Advertisement -

BANGI: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bangi telah mengambil inisiatif membantu kebajikan ahli PAS dalam Parlimen Bangi yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac.

- Advertisement -

Ketua Muslimat, Hamsatul Hamzah berkata dalam suasana berperang dengan wabak COVD-19 ini, terdapat ahli-ahli PAS yang memerlukan sokongan berikutan tidak mendapat gaji atau hilang pendapatan.

“Ini adalah langkah kami bagi membantu meringankan beban mereka. Ia juga sebagai salah satu cara untuk merealisasikan nilai ukhuwah dalam kalangan ahli.

“Sebanyak RM18,000 telah disumbangkan kepada 90 ahli PAS yang terjejas pendapatan dan gaji di sepanjang tempoh PKP atau tempoh dikuarantin ini.

“Sekiranya ada ahli yang menerima rawatan di hospital kerana disahkan positif COVID-19 akan turut menerima sumbangan ini,” ujar beliau.

Pemilihan ahli yang layak menerima bantuan telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa PAS Cawangan masing-masing di mana nama mereka disalurkan nama dan maklumat tersebut kepada Muslimat PAS Bangi.

Jelas beliau juga, sumbangan melalui setiap DUN di dalam Parlimen Bangi kepada penerima diberikan sendiri oleh Jawatankuasa PAS Cawangan masing-masing.

Hamsatul turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang menyumbang bagi membantu meringankan beban kehidupan ahli PAS di sekitar Parlimen Bangi. – HARAKAHDAILY 24/3/2020

(*Gambar di atas adalah dari album lama bukan dalam tempoh KPK sebagai hiasan berita ini)

- Advertisement -