
KUALA TERENGGANU: Program melabuhkan tukun Rig To Reef (R2R) di Pulau Tenggol, Dungun dilaksanakan, hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.
Menurutnya, dengan kerjasama Petronas sebagai pengawal selia minyak dan gas negara, konsep R2R di Pulau Tenggol telah dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Perikanan negeri pada 2022.
“Bagi menjayakan inisiatif ini, Hibiscus Petroleum Malaysia bersama dengan Jabatan Perikanan dan PETRONAS telah mengolah Pelantar Minyak South Angsi Alpha (SAA) yang telah beroperasi selama 14 tahun di Perairan Terengganu pada jarak 130 km dari Pantai Terengganu untuk menjadi tukun tiruan,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Katanya, Pelantar SAA telah bertukar profesion daripada khidmat dalam sektor minyak dan gas kepada peranan dalam sektor perikanan.
“Bersemadilah SAA di dasar laut Pulau Tenggol dengan selamatnya hari ini. Terima kasih Petronas. Terima kasih Hibiscus Malaysia, Terima kasih DoF,” katanya.
Menurutnya, anggaran keseluruhan projek tukun R2R itu, bermula daripada pemunggahan di tapak lokasi cari gali minyak, penghantaran ke darat, pengubahsuaian dan operasi melabuh tukun di Pulau Tenggol adalah dalam lingkungan RM3 juta.
Beliau yang juga ADUN Jabi dimaklumkan ada 15 lagi pelantar Petronas yang dalam proses dinyahtauliah.
“Kami telah suarakan kesedian Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan untuk terus bekerjasama dengan Petronas bagi menjayakan program R2R seterusnya,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/9/2024











