Kepentingan pensijilan halal Malaysia dalam konteks isu semasa

- Advertisement -

PENSIJILAN halal telah menjadi topik hangat yang diperbahaskan oleh masyarakat awam di Malaysia pada ketika ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang menyanggah cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM)  telah mencetuskan kontroversi yang mengundang laporan polis dan siasatan kes.

- Advertisement -

Beliau berpendapat pensijilan halal ini adalah suatu yang membebankan peniaga dan memalukan negara.  

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kenyataan tersebut dan menafikannya. Malah, bagi beliau pandangan itu adalah suatu yang tidak mencerminkan pendirian kerajaan. 

Polemik berkenaan amalan pensijilan halal di Malaysia turut disentuh oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang menegaskan keperluan pensijilan halal. 

Pensijilan Halal kini terikat dengan undang-undang, prosedur dan standard yang dibangunkan. Setiausaha Agung PUM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, berpendapat bahawa pensijilan halal adalah penting untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia, baik Muslim mahupun bukan Muslim. 

Ia juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai piawaian utama dalam industri halal global. 

Beliau juga menegaskan bahawa istilah seperti ‘no pork’, ‘no wine’, dan ‘no alcohol’ sebagai tidak mencukupi dan memadai untuk menentukan status halal makanan. 

Oleh itu, pensijilan halal perlu meliputi semua aspek seperti proses, penyediaan, peralatan, dan bahan untuk memenuhi kehendak Halalan Toyyiban.

Pensijilan Halal Malaysia yang dipelopori oleh JAKIM sebenarnya mempunyai nilai yang besar dalam industri makanan dan minuman di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. 

Bukan itu sahaja, kini terdapat sembilan skim pensijilan halal yang dilaksanakan oleh JAKIM dan JAIN/MAIN. 

Ia bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti dan keselamatan produk, tetapi juga dalam meningkatkan kredibiliti dan daya saing produk Malaysia di pasaran global. 

Sebenarnya, Pensijilan Halal Malaysia turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai piawaian utama dalam industri halal global. 

Pengiktirafan ini memberikan kredibiliti tambahan kepada produk Malaysia, menjadikannya pilihan utama dalam pasaran global.

Dalam industri makanan yang semakin kompetitif, logo halal Malaysia berfungsi sebagai tanda jaminan bahawa produk tersebut memenuhi standard yang tinggi dari segi kebersihan, keselamatan, dan kepatuhan kepada prinsip Halalan Toyyiban. 

Proses pengauditan yang dijalankan dikatakan amat ketat kerana melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap setiap peringkat pengeluaran, memastikan bahawa setiap produk mematuhi piawaian yang ditetapkan. 

Ini tidak hanya memberi manfaat kepada pengguna Muslim, tetapi juga menarik minat pengguna bukan Muslim yang mementingkan aspek kebersihan dan kualiti dalam produk yang mereka beli.

Di samping itu, dalam pasaran yang dipenuhi dengan pelbagai jenis produk, logo halal Malaysia berfungsi sebagai panduan visual yang memudahkan pengguna mengenali produk yang sesuai dengan keperluan mereka. 

Hal ini adalah penting terutamanya bagi pengguna yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang bahan-bahan yang digunakan dalam makanan. 

Dengan adanya logo halal, pengguna dapat dengan mudah membuat pilihan yang tepat tanpa perlu menyelidik setiap ramuan yang terdapat dalam produk. 

Ini membantu mengurangkan kekeliruan dan keraguan di kalangan pengguna, terutama dalam konteks bahan mentah yang sering kali tidak jelas sumbernya. 

Pengesahan halal membantu memastikan bahawa semua bahan yang digunakan tidak mengandungi unsur haram seperti babi atau alkohol, dan proses penyediaan juga mematuhi garis panduan yang ketat.

Selain kepentingan dari sudut agama, pensijilan halal juga memberikan impak besar kepada industri makanan dari segi ekonomi. 

Memiliki sijil halal JAKIM membuka peluang pasaran yang lebih luas, terutamanya di pasaran antarabangsa. 

Negara-negara seperti Timur Tengah, Indonesia, dan Brunei merupakan pasaran utama untuk produk halal. 

Dengan pensijilan halal, perniagaan Malaysia dapat menembusi pasaran-pasaran ini dan meningkatkan eksport mereka. 

Tambahan pula, semakin banyak negara yang mengiktiraf kepentingan produk halal, walaupun tidak majoriti Muslim, menjadikan pensijilan ini aset berharga bagi perniagaan yang ingin berkembang di luar negara.

Selain itu, pensijilan halal JAKIM juga berfungsi sebagai jaminan bahawa produk makanan dan minuman adalah selamat untuk dimakan dan tidak mengandungi bahan-bahan yang diharamkan oleh agama Islam. 

Proses pensijilan memastikan bahawa setiap peringkat penyediaan, pengeluaran, penyimpanan, dan penghantaran produk mematuhi garis panduan yang ketat untuk mengelakkan pencemaran dengan bahan haram. 

Ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti jenama dan kepercayaan pelanggan, tetapi juga memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa produk yang mereka beli adalah selamat untuk dimakan. 

Dengan memastikan kehalalan produk, logo halal juga menjamin keselamatan pengguna dan mengurangkan risiko pencemaran atau keracunan makanan.

Secara ringkasnya, pensijilan halal Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kualiti, keselamatan, dan kepatuhan kepada prinsip agama dalam industri makanan dan minuman. 

Ia bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna dengan memastikan produk memenuhi standard yang tinggi, tetapi juga meningkatkan kredibiliti produk Malaysia di peringkat antarabangsa. 

Dalam konteks isu semasa mengenai pensijilan halal, adalah penting untuk memahami bahawa pensijilan ini bukan sahaja memenuhi kehendak agama tetapi juga menyediakan manfaat ekonomi dan perniagaan yang signifikan. 

Dengan memastikan bahawa produk yang ditawarkan adalah berkualiti dan selamat, pensijilan halal JAKIM membantu membentuk industri makanan dan minuman yang berdaya saing dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat industri halal global.

Muhammad Anas Md Radzi (calon Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal, Universiti Teknologi MARA); dan  Dr. Khairul Anwar Mustaffa (Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Industri Halal, Universiti Teknologi MARA) – HARAKAHDAILY 11/9/2024

PENAFIAN

Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -